Seorang pekerja hotel dijatuhi hukuman penjara lima tahun dan 10 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini selepas didapati bersalah memiliki dadah jenis methampethamine, April lalu.
Hakim, Darmafikri Abu Adam menjatuhkan hukuman itu terhadap tertuduh, Muhammad Nur Azhar Hassim, 26, yang mengaku salah sebaik sahaja pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.
Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati memiliki dadah jenis methampethamine seberat 36.2 gram yang disenaraikan di bahagian III Jadual Pertama Akta Dadah Berbahaya 1952.
Kesalahan itu dilakukan kira-kira pukul 11.45 malam di tepi jalan PKAK 2, Hotel Metra Square, Ayer Keroh, dalam daerah Melaka Tengah pada 9 April lalu.
Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara seumur hidup dan 10 kali sebatan mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Mengikut fakta kes, tertuduh ditahan selepas sepasukan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Melaka selepas menemui sebungkus plastik besar berisi dadah di dalam bakul motosikal miliknya.
Terdahulu, tertuduh diwakili Peguam A.H. Mohamad Zulkiffly Abdul Hamid merayu agar hukuman ringan dapat diberikan atas alasan perlu menyara ibu dan ayahnya yang kini meraih pendapatan dengan hanya berniaga cendol di tepi jalan.
Timbalan Pendakwa Raya Aliff Asraf Anuar Sharuddin bagaimanapun memohon hukuman setimpal dikenakan dengan mengambil kira faktor kepentingan awam mengenai kesalahan berat dilakukan.
Selepas mendengar rayuan kedua belah pihak, Darmafikri kemudian menjatuhkan hukuman penjara lima tahun bermula dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu 9 April lalu dan mengenakan 10 sebatan.
Sumber: Kosmo
Baca Juga: Suami Isteri Ditahan, Bersubahat Edar Dadah
Polis menahan sepasang suami isteri dan merampas pelbagai jenis dadah bernilai RM14,330 dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Baiduri, di sini, awal pagi semalam.
Serbuan pada jam 1.30 pagi itu dijalankan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat serta pasukan ronda cegah jenayah.
Ketua Polis Daerah Tumpat, Asisten Komisioner Amran Dolah berkata, ketika serbuan, suami isteri itu berada di ruang tamu dalam keadaan mencurigakan.
“Pada awalnya, kedua-dua suspek enggan memberikan kerjasama dan lelaki itu cuba melarikan diri namun berjaya ditahan selepas berlaku pergelutan.
“Hasil pemeriksaan lanjut menjumpai 13 biji pil kuda, heroin (29 gram) dan ganja (14 gram) dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM14,330,” katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.
Amran berkata, pihaknya juga membuat sitaan wang tunai berjumlah RM9,837, sebuah Perodua Myvi, sebuah motosikal Honda Vario 150, dua utas gelang tangan dan tiga bentuk cincin.
Katanya, ujian saringan mendapati suspek lelaki yang berumur 41 tahun positif dadah jenis opiate serta mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah manakala wanita itu pula negatif.
“Mereka ditahan reman selama tujuh hari sehingga 2 Disember untuk siasatan lanjut.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) ADB 1952, Seksyen 6 ADB 1952 dan Seksyen 15(1)(a) ADB 1952,” katanya.
Sumber: KMN