Nasi Kandar, Pilihan Orang Penang Untuk Bersahur! Beberapa restoran kini telah dibenarkan beroperasi selama 24 jam. Restoran Nasi Kandar di Pulau Pinang merupakan pilihan penduduk di negeri tersebut untuk bersahur. Baca selanjutnya.
KEPALA BATAS: Orang ramai di Pulau Pinang teruja apabila akhirnya dapat bersahur di kedai makan setelah hampir dua tahun tidak berbuat demikian sejak negara dilanda COVID-19.
Tinjauan Astro AWANI di restoran nasi kandar di Kepala Batas mendapati suasana awal pagi begitu meriah apabila ramai yang memilih untuk bersahur di restoran pada malam pertama Ramadan.
Beberapa pelanggan yang ditemui berkata, kebenaran restoran beroperasi semula selama 24 jam selepas peralihan negara ke fasa endemik memudahkan mereka dan juga pekerja yang bekerja syif malam membeli makanan dan minuman.
“Rasa meriah sangat, di sini memang kawasan tarikan bagi orang Kepala Batas untuk bersahur, memang tiap-tiap tahun sebelum ini macam ini, meriah, sebab ada makanan panas, memang banyak menu, ada ayam goreng, kita memang cari macam itu.
“Lagi satu orang Pulau Pinang ini memang suka nasi kandar. Saya baru balik kerja jadi mudah untuk terus bersahur. Satu lagi sebab sini (restoran) dekat dengan hospital, jadi mana yang bekerja malam mereka boleh datang ke sini, suasana meriah.
“Tahun lepas kita tak boleh bersahur macam ini, jadi malam ini meriah walaupun kita jaga SOP tapi suasana itu masih meriah,” kata pekerja farmasi, Shazrin Mohd Yusof.
Jendela Ramadan
Sementara itu, Pengurus Restoran, Raja Mohamad Abdul Kader berkata, sambutan diterima daripada pelanggan adalah di luar jangkaan pihaknya.
Katanya meskipun berdepan dengan masalah kekurangan tenaga kerja, pihaknya gembira kerana kerajaan membenarkan kedai makan beroperasi 24 jam.
Beliau berkata, sepanjang Ramadan ini, restorannya akan beroperasi bermula jam 5 petang sehingga 6 pagi.
“Hari ini terlalu ramai pelanggan, tidak sempat nak layan, pekerja pula tak cukup, semua letih.
“Kami mula beroperasi jam 5 petang tadi sampai sekarang jam 1.30 pagi dan sekarang nak sambung sampai habis sahur nanti,” kata pengurus restoran, Raja Mohamad Abdul Kader.
Operasi kedai makan yang sebelum ini dibenarkan sehingga jam 12 tengah malam sahaja kini mendapat kebenaran untuk dibuka dalam tempoh 24 jam selari dengan peralihan negara ke fasa endemik.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, had masa operasi premis makanan kini dimansuhkan dan pemilik boleh menjalankan operasi selama 24 jam mengikut syarat lesen operasi mereka.
Sumber: Awani