Oksigen Kapal Selam Boleh Bertahan 5 Hari Jika Ada Elektrik | Sebelum ini Ketua Angkatan Laut (KSAL)  Indonesia telah mengatakan bahawa bekalan oksigen kapal selam KRI Nanggala 402 hanya mampu bertahan selama 72 jam iaitu selama tiga hari namun baru-baru ia memberitahu bahawa sekiranya kapal selam terbabit tidak terputus bekalan elektrik maka bekalan oksigen boleh bertahan selama 5 hari.

Oksigen Kapal Selam Boleh Bertahan 5 Hari Jika Ada Elektrik

Bali: Bekalan oksigen KRI Nanggala 402, yang hilang bersama dengan 53 kelasi di perairan Bali, mungkin mencukupi untuk tempoh 5 hari sekiranya kapal selam itu tidak terputus bekalan elektrik.

Bagaimanapun, Ketua Turus Tentera Laut Indonesia, Laksamana Yudo Margono, tidak dapat mengesahkan sama ada gangguan bekalan elektrik itu berlaku ketika kapal selam buatan Jerman itu mula menyelam pada Rabu.

Katanya, jika tidak terputus bekalan tenaga atau masih memiliki kapasiti elektrik, bekalan oksigen akan mencukupi untuk tempoh lima hari.

Tambahnya, semalam dia memaklumkan bahawa enjin dan tenaga elektrik kapal selam masih berfungsi, beberapa petanda boleh didengari oleh Komando Pasukan Katak (KOPASKA) yang sedang mencarinya yang terletak 50 meter daripada kapal selam itu.

Berdasarkan maklumat itu, Yudo memaklumkan beliau berharap KRI Nanggala 402 tidak terputus bekalan elektrik kerana apabila gangguan itu berlaku, bekalan oksigen akan kehabisan dalam tempoh tiga hari.

Hubungan dengan KRI Nanggala 402 yang membawa 53 kelasi itu terputus ketika kapal selam itu sedang menjalani latihan ketenteraan menggunakan torpedo tidak jauh dari pulau percutian Bali pada Rabu.

Misi pencarian kapal selam terbabit difokuskan di sembilan lokasi di utara perairan Bali, kira-kira 40 kilometer dari pesisir Celukan Bawang di daerah Buleleng, selepas anggota pencarian menemukan tumpahan minyak serta mengesan daya magnetik yang kuat kira-kira 50 hingga 109 meter dari aras laut.

Tentera Indonesia mengerahkan 21 kapal perang, termasuk yang mempunyai kupayaan pengesanan sonar, antaranya KRI Rigel-933, KRI Rimau- 724 dan kapal selam KRI Alugoro-405.

Beberapa negara turut menggerakkan aset masing-masing untuk misi mencari dan menyelamat itu, termasuk MV Swift Rescue dari Singapura, MV Mega Bhakti (Malaysia), HMAS Ballaratand HMAS Sirius (Australia), SCI Sabarmati (India), dan pesawat Poseidon (Amerika Syarikat).

Polis Indonesia dan Agensi Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) juga menggerakkan kapal, kenderaan dalam airkawalan jauh (ROV) dan dron untuk misi pencarian berkenaan.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply