Orang Ramai Harap SOP Di Masjid Tidak Diperketat | Khalifah Media Networks – Seperti yang kita sedia maklum, jumlah kes Covid-19 semakin meningkat sejak beberapa minggu lalu. Berikutan itu juga, perintah kawalan pergerakan (PKP) telah dilaksanakan di beberapa buah negeri.

Orang Ramai Harap SOP Di Masjid Tidak Diperketat

Shah Alam: Kebanyakan orang awam bersedia dengan pelaksanaan PKP yang akan dilaksanakan selama dua minggu bermula pada 6 Mei ini.  Tinjauan dari Sinar Harian mendapati, kebanyakan pihak berpendapat pengumuman PKP merupakan pelaksanaan biasa. Memandangkan masyarakat sudah berdepan dengan penguatkuasaan arahan itu beberapa kali sebelum ini.

Pengerusi Persatuan Penduduk Blok E Lembah Subang, Mohd Azmi Yaacob berkata, pihaknya bersetuju dengan pelaksanaan itu. Namun Majlis Keselamatan Negara (MKN) diharap tidak terlalu mengetatkan prosedur operasi standard (SOP). Yakni di masjid khususnya menjelang Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi.

Perintah Kawalan Pergerakan

“Kalau boleh janganlah dikurangkan jumlah jemaah di dalam masjid-masjid melibatkan kawasan yang dikenakan PKP,” katanya kepada Sinar Harian.

Sementara itu, seorang pengurus penyelenggaraan, M P Kumara Devan, 40, berkata, pengumuman kerajaan itu tidak mengejutkan. Memandangkan kes harian Covid-19 di Selangor telah merekodkan peningkatan yang tinggi sejak beberapa minggu lalu.

Bagaimanapun, Kumara berkata, pihak kerajaan sewajarnya melaksanakan PKP di semua daerah di negeri ini. Bagi memastikan penularan wabak Covid-19 dapat dikawal dengan sebaiknya.

Dalam pada itu, seorang pemandu teksi Zulkifli Ramesh Abdullah, 48, berkata, walaupun pendapatannya dijangka terjejas dengan pelaksanaan PKP, namun penguatkuasaan arahan itu perlu dilakukan susulan dari peningkatan kes sejak kebelakangan ini.

Zulkifli berkata, sebagai pemandu teksi, pihaknya juga risau kerana turut terdedah kepada risiko bahaya wabak Covid-19 berikutan membawa pelbagai penumpang setiap hari.

“Saya cuma harapkan kerajaan dapat kawal ketat warga-warga asing di kawasan terlibat dengan PKP kerana golongan inilah yang selalunya menjadi punca penyebaran wabak berkenaan,” katanya.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, enam daerah terlibat ialah daerah Hulu Langat, Petaling, Gombak, Klang, Kuala Langat dan Sepang.

Semua penduduk di daerah terlibat tidak dibenarkan melakukan perjalanan rentas daerah kecuali atas urusan kecemasan.

Sumber: Sinar Harian

Share.

Leave A Reply