Padah Berlumba, Lakukan Aksi Berbahaya Empat Penunggang Motosikal Ditahan | Walaupun negara pada ketika ini masih dalam pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tetapi terdapat segelintir masyarakat yang tetap berdegil untuk keluar rumah melakukan perkara yang tidak berfaedah termasuk berlumba di jalan raya.
Seringkali kita dengar golongan remaja berlumba dan melakukan aksi berbahaya ketika menaiki motosikal di jalan raya sekaligus membahayakan diri sendiri serta orang ramai.
Baru-baru ini, empat penungang motosikal termasuk tiga remaja telah ditahan kerana berlumba sesama sendiri sambil melakukan aksi merbahaya di Jalan Kluang-Air Hitam, Batu Pahat, Johor malam tadi.
Mereka yang berusia antara 16 hingga 24 tahun ditahan dalam Operasi Khas Samseng Jalanan oleh Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman.
Sementara itu, Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman, Datuk Mohd Nadzri Hussain, berkata tangkapan yang dibuat hasil risikan dan intipan oleh pasukan operasi yang berada di lokasi bermula pada jam 7.05 malam.
“Ketika membuat pemantauan di Jalan Kluang-Air Hitam menghala ke arah Batu Pahat, pasukan operasi melihat sekumpulan penunggang motosikal sedang melakukan aksi bersaing sesama sendiri.
“Mereka turut dilihat melakukan aksi menundukkan badan dan zig zag yang mana ia membahayakan diri mereka sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Katanya lagi, tangkapan ke atas mereka dilakukan dalam tiga tangkapan berasingan iaitu dua ditahan di hadapan sebuah restoran manakala dua lagi ditahan di hadapan rumah masing-masing di Sri Gading, Batu Pahat antara jam 8.30 malam hingga 9 malam.
“Mereka bersama motosikal masing-masing kesemuanya jenis Yamaha 125ZR kemudian dibawa ke pejabat Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Batu Pahat untuk tindakan selanjutnya.
“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan 26 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan,” katanya.
Sumber: Berita Harian