Padah Hina Nabi, Ini Hukuman Setimpal Buat Penuntut U Kesal.

| March 4, 2020 | 0 Comments

Padah Hina Nabi, Ini Hukuman Setimpal Buat Penuntut U Kesal. | Padah membuat dan menghantar komunikasi jelik berhubung Nabi Muhammad SAW menerusi akaun Facebook, seorang penuntut universiti didenda RM4,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen, di sini hari ini.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu terhadap Ain Zafira Md Said, 28, selaku Orang Kena Saman (OKS), selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada hari pertama perbicaraan kes tersebut.

Wanita itu didakwa menggunakan laman profil Facebook ‘Ain Zafira Md Said’ secara sedar membuat penghantaran menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain pada jam 12.05 pagi, 5 September 2019.

Pautan itu dibaca di Pejabat Bahagian Siasatan Jenayah Siber dan Multimedia, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Tingkat 27, Menara KPJ, Jalan Tun Razak di sini, pada jam 4.15 petang, 8 Sept 2019.

Ain Zafira didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan dihukum di bawah Seksyen 233 (3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam Nor Azri Mohd Arif, yang mewakili Ain Zafira, merayu mahkamah mengenakan hukuman berbentuk denda minimum atas alasan anak guamnya kesal dan telah menerima pengajaran daripada tindakannya.

“OKS merupakan anak kedua daripada dua adik-beradik, masih belajar dan ditanggung oleh ibunya yang merupakan ibu tunggal.

“Dalam kes ini, OKS sudah menyesal akan perbuatannya dan memohon maaf pada semua yang terkesan dengan ‘posting’ beliau keluarkan. ‘Posting’ tersebut telahpun dipadam,” katanya.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Annur Atiqah Abd Hadi memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pengajaran kepada Ain Zafira kerana tindakan wanita itu telah mencetuskan kemarahan umat Islam di Malaysia.

Menurut beliau, hukuman berbentuk pengajaran boleh menjadi contoh kepada semua rakyat Malaysia supaya lebih sensitif dan berhati-hati ketika ingin menyuarakan pendapat di media sosial.

“Ribuan orang dapat melihat dan mengakses hantaran OKS tersebut,” tambahnya.

Ain Zafira membayar denda tersebut.

Sumber :- Bernama Via Sinar Harian

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *