Pekerja Kerajaan Dan Hutang

| August 6, 2020 | 0 Comments

Pekerja Kerajaan Dan Hutang | Assalamualaikum kepada semua pembaca. Sedikit pengenalan, saya seorang ibu anak 3, pegawai kerajaan yang bersuamikan juga pekerja kerajaan. Luahan saya ini saya anggap perkongsian, pendapat, pengalaman dan juga mungkin sedikit nasihat.

Umum masyakarat kita, faham benar dengan istilah ‘kerja kerajaan ,
senang buat loan’. Stigma ini juga ditambah dengan ‘kerja kerajaan,
banyak duit’. Saya ingin berkongsi cerita yang terjadi di sekeliling
saya, yang mana saya rasakan tidak patut dan perlu diubah.

Situasi 1 :

Ketika saya masih belum berkahwin, gaji saya memang agak banyak kerana
masih belum ada komitmen. Ketika itu, saya cuma ada kereta, belum
membeli rumah. Saya diminta membuat loan untuk membaiki rumah arwah ibu
dan ayah saya oleh salah seorang adik beradik saya.

Saya menolaknya kerana saya fikir saya sendiri belum memiliki rumah.
Lagipun, rumah tersebut Cuma tinggal 2 orang kakak dan abang saya yang
tidak berkahwin dan telah berusia. Isu itu tamat di situ.

Situasi 2 :

Saya diminta sekali lagi (oleh orang yang sama.. hehe) untuk pinjam nama
saya kerana katanya mahu beli rumah (untuk dia diami dengan keluarganya)
tetapi tiada slip gaji.

Dia berniaga kecil-kecilan. Kali ini, dia puas juga memujuk. Aduhh… saya
masih menolak kerana saya sendiri pun belum membeli rumah.

Ertinya, rumah itu atas nama saya, saya bayar potong gaji dan dia bayar
cash kepada saya setiap bulan. Saya fikir andai dia tak mampu bayar
suatu hari nanti bagaimana. Takkan lah saya mahu suruh dia keluar dari
rumah itu. Isu itu lama juga dan akhirnya diam.

Situasi 3 :

Saya enggan memberi data kepada seorang saudara saya atas alasan saya
tidak mahu menjadi penjamin kepada pinjaman pembelajarannya. Tuan puan,
kolej swasta ye, bayangkan berapa pinjaman yang dia perlu buat. Banyak
alasan saya.

Antaranya, pinjaman terlalu mahal, saudara saya ini tidak menunjukkan
keyakinan dapat result yang baik, keluarganya sendiri bukanlah
berkemampuan sangat untuk menampung ketidakcukupan kos pembelajaran nya.

Andai kata dia belajar separuh jalan, tidakkah bebanan itu jatuh atas
penjamin? Andai kata dia belum atau lambat mendapat kerja nanti adakah
yang saya yang akan dicari sebagai penjamin?

Isu ini hangat sehingga ibunya berkata anaknya tidak dapat sambung
belajar kerana tiada penjamin. Tetapi tidak pula dia nyatakan anaknya
tidak sambung belajar kerana mereka sendiri tidak mampu.

Saya kah yang bersalah? Saya sendiri sudah ada komitmen rumah (agak
mahal) dan sudah ada 3 anak. Komitmen saya besar, saya tidak sanggup
menanggung beban. Kejamkah saya?

Situasi 4 :

Seorang kenalan saya meminjam duit dengan jumlah ribu juga. Janjinya
bayar setiap bulan tetapi ada juga bulan yang dia minta skip.

Betul, saya tak kisah sebab bukan dia tak bayar tetapi cuma minta
tangguh. Kenapa saya isukan juga di sini? Yaaaa….dia berhutang tetapi
life style dia kalah saya yang bergaji lebih besar daripada dia.

Kenapa ye… pemikiran orang, pegawai kerajaan ini boleh diminta2 tolong,
diminta pinjam duit.

Mari saya kisahkan perihal saya, saya bukanlah orang yang pandai sangat
manage kewangan, tetapi untungnya saya bukan seorang yang boros. Saya
ada impian dan target saya.

Saya banyak korbankan nafsu saya (biasa lah perempuan mana yang tak
bernafsu kan.. haha) daripada membeli barang-barang kehendak.

Saya bukan orang yang membeli baju setiap bulan seperti kawan-kawan saya
walaupun saya mampu. Saya tidak menukar beg kerja dan kasut setiap bulan
atau tahun.

Saya hanya akan membeli jika perlu atau rosak. Bukan kerana berkenan
sebab cantik. Tambahan pula, saya ada anak kecil, maka keperluan mereka
lebih utama. Saya bukan orang yang akan bercuti setiap bulan duduk di
hotel-hotel mahal atau sederhana.

Gaji saya, saya gunakan secara optimum. Rumah saya buruk kerana beli
second,rumah lama,tetapi cukup besar dan selesa. Saya ada target untuk
elokkan rumah saya. Justeru, saya menyimpan, jika cukup beberapa ribu
saya akan buat renovation sedikit demi sedikit.

Kereta saya masih yang dahulu, dah habis bayar. Ada juga bincang dengan
suami nak pakai kereta lebih besar, tetapi saya tahankan dahulu.

Setiap bulan saya bayar rumah, sedikit simpanan tabung haji untuk
anak-anak saya, insurans anak2 dan pengasuh (segala bil rumah, barang
keperluan rumah, susu pempes anak ditanggung oleh suami saya).

Suami saya gajinya lebih kecil, maka saya akan pastikan saya sentiasa
ada simpanan untuk waktu terdesak contohnya kereta rosak, sakit demam,
jika anak atau saya sendiri nak makan itu ini

(Saya tidak boros pada barang tetapi sangat tak berkira untuk makan ).
Selebihnya itu lah saya akan menyimpan untuk impian saya pada rumah saya.

Tetapi yang peliknya, orang- orang di atas (peminjam), saya lihat boleh
pergi bercuti weekend, boleh sambut hari jadi anak, boleh beli
barang-barang rumah.

Iyeee duit dia, tapi hutang tangguh bayar. Ada juga saya lihat, jika ada
majlis-majlis seperti perkahwinan, hari raya, pakaiannya hebat, mekap
juga berkilat.

Wahai pembaca, saya juga pernah berhutang ketika saya sangat memerlukan.
Tetapi saya berusaha bersegera membayar hutang. Tahanlah dahulu
keinginan bercuti, tahanlah dahulu keinginan membeli, selesaikan hutang
dahulu.

Dan janganlah kita lihat orang yang bergaji besar ini dengan senangnya
pula kita jadikan sandaran untuk kita melepaskan lelah ketidakcukupan
memenuhi nafsu keinginan kita.

Kita tak tahu orang yang nampak berduit dan ada simpanan ini, sebesar
mana dia menahan keinginan untuk membeli. Banyak yang dikorbankan
sehingga dapat mengumpul wang sejumlah begitu.

Dan masih juga menjadi kebiasaan dalam keluarga terutama adik beradik,
pekerja kerajaan mesti bantu siap siaga menjadi penjamin. Jika tidak,
adalah yang keluarkan ayat tidak mahu bantu adik beradik.

Ubahlah. Kita perlu hidup dengan sebanyak mana yang kita ada. Berpada
berbelanja, perlu tahu apa itu kehendak dan keperluan.

Jangan diikut cara orang terutama sekali perempuan @ isteri. Biasa lah
perempuan ni, banyak nafsu keinginan itu dan ini. Saya pun seorang
perempuan dan isteri.

Maaf andai coretan ini menyinggung mana-mana pembaca. Cuma isu ini
sebenarnya banyak berlaku dalam masyarakat. Suka berhutang (jika benar-
benar susah, itu tak apalah), tetapi sebenarnya nafsu inginkan hidup
mewah tu yang menguasai diri kita.

Sekian buat kali ini.

– Mawar Berduri (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Tags: , , , , , ,

Category: DUNIA, KELUARGA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *