Mayat bayi perempuan dipercayai baru dilahirkan berbalut dengan kain dan diletakkan di dalam beg oren ditemui di dalam kotak sampah di hadapan rumah kebajikan di Lestari Perdana 1, Seri Kembangan, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner AA Anbalagan berkata, mayat yang berkulit cerah itu ditemui pekerja pengutip sampah, 9.30 pagi tadi.
Menurutnya, anggota bertugas di bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menerima panggilan Mers 999 dimaklumkan berlaku kes pembuangan bayi pada 10.05 pagi.
“Mayat bayi akan dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
“Siasatan masih diteruskan dan pihak polis mengalu-alukan jika ada sebarang maklumat mengenai kelahiran bayi terbabit boleh tampil ke mana-mana balai polis berdekatan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan.
Sumber : Harian Metro
ARTIKEL LAIN YANG MENARIK UNTUK DIBACA
Seorang Ibu Tergamak Buang Bayi Masih Bertali Pusat
Bayi berusia kira-kira seminggu seberat dua kilogram dan masih bertali pusat ditemukan seorang lelaki di luar rumahnya di Kondo Rakyat, Kuala Ibai, di sini, petang semalam.
Ahmad Fauzi Sulaiman, 28, berkata, dia baru pulang dari kerja kira-kira 6 petang sebelum terdengar bayi menangis, namun mulanya dia tidak mengendahkan kerana menyangka suara anak jiran.
“Bagaimanapun, tangisan itu semakin kuat dan isteri (Nur Azlin Rosli, 28) meminta saya melihat di luar rumah kerana bunyi suara itu sangat dekat.
“Sebaik keluar, saya melihat bayi itu berada di bawah kerusi dalam keadaan kesejukan dan membawa bayi berkenaan masuk ke rumah sebelum ibu mentua (Nor Shasikim Endut, 50) menghubungi polis,” katanya ketika ditemui, semalam.
Bapa saudara Ahmad Fauzi, Mohd Shaharuddin Endut, 57, berkata, dia tidak pasti bila bayi terbabit diletakkan di kawasan berkenaan.
Katanya, penduduk juga mendakwa tidak menyedari kehadiran individu membawa bayi berkenaan di tepi rumah anak saudaranya kerana laluan berkenaan kurang dilalui penduduk.
Bayi terbabit kemudian diserahkan kepada polis untuk urusan lanjut.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh menghubungi balai polis terdekat,” katanya.
Sumber : KMN