Pekerja Penyeleggaraan Maut Terjatuh Dalam Lubang Kumbahan | Ketika negara kita sedang dilanda pandemik Covid-19, sering kita lihat dan dengar banyak kejadian yang tidak dijangka berlaku. Bukan itu sahaja, kejadian meragut nyawa juga semakin meningkat pada musim pandemik kini.

Pekerja Penyeleggaraan Maut Terjatuh Dalam Lubang Kumbahan

Terbaru, seorang pekerja penyelenggaraan menemui ajal selepas terjatuh ke dalam lubang saluran air kumbahan di sebuah pasar raya. Kejadian tersebut dikatakan berlaku pada malam tadi bertempat di Batu Pahat, Johor.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Ismail Dollah berkata, mangsa, Yazali Yakub, 54, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di lubang tersebut.

“Pada pukul 8.20 malam tadi, pihak polis menerima panggilan telefon daripada orang awam menyatakan seorang lelaki dijumpai tidak sedarkan diri di dalam lubang saluran air kumbahan.

“Bertindak atas laporan, polis telah bergegas ke tempat kejadian dan percaya mangsa telah terjatuh ke dalam lubang berkenaan yang mempunyai kedalaman lebih kurang empat meter,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, mangsa yang merupakan pekerja bahagian penyelenggaraan di pasar raya itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Menurut Ismail Dollah, mayat mangsa telah dikeluarkan dengan bantuan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Penggaram dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) Batu Pahat untuk proses bedah siasat,” katanya.

Sumber: Kosmo

Share.

Leave A Reply