Penang Dilanda Ribut Petir, Angin Kencang. Ini Sebabnya Yang Ramai Tak Tahu | Kejadian angin kencang yang berlaku sekitar Pulau Pinang petang semalam berpunca daripada awan kumulonimbus yang membawa ribut petir berskala kecil dan tempatan.
Pejabat Meteorologi Pulau Pinang menerusi kenyataannya berkata, keadaan itu dijangka berlaku pada sebelah petang sepanjang minggu ini.
Bagaimanapun MET Malaysia akan sentiasa memantau dan mengemaskini amaran cuaca dari semasa ke semasa.
Menurutnya, pada jam 6 petang semalam, Stesen Meteorologi Butterworth di sini, merekodkan jumlah hujan 19.4milimeter (mm).
Sambungnya, Stesen Meteorologi Pencemaran Udara Prai dan Bayan Lepas masing-masing merekodkan jumlah hujan sebanyak 8.4mm dan 4.8mm pada waktu yang sama.
Sementara itu, kelajuan angin langkisau pada jam 5.04 petang yang direkodkan di Stesen Butterworth ialah 54 kilometer sejam (km/j) dan 62 km/j di stesen Bayan Lepas pada jam 5:30 petang. Stesen Pencemaran Udara Prai pula tidak merekodkan apa-apa bacaan angin langkisau.
Menerusi pemantauan cuaca serta analisa imej radar dan satelit, didapati pembentukan awan aktif mula terbentuk di timur laut bergerak masuk ke negeri di bahagian utara.
Terdahulu Jabatan Meteorologi Malaysia mengeluarkan amaran ribut petir seawal jam 3.00 petang di Pulau Pinang yang berkuat kuasa hingga jam 9 malam.
Menerusi maklumat daripada pasukan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), terdapat hampir 20 laporan mengenai kejadian pokok tumbang dan kerosakan struktur susulan hujan dan angin kencang.
Antara lokasi terbabit ialah di Air Itam, Bayan Baru, Lintang Pangkor, Jalan zainal Abidin, Jalan Sungai dan Jalan Masjid Negeri.
Sumber: Berita Harian