Sekurang-kurangnya tiga lembu mati dipercayai dibaham harimau hujung minggu lalu di sekitar Felda Ulu Belitong dan Felda Ulu Dengar di sini.

Pemilik haiwan ternakan berkenaan, Mohammad Syafii Jowahir, 30, berkata dia menyedari dua anak lembu jantan miliknya itu mati dengan bekas gigitan di leher kira-kira jam 9 pagi Ahad lalu di dalam kebun milik keluarganya itu di Felda Ulu Belitong.

“Saya dia tidak menanam bangkai lembu itu kerana bimbang haiwan buas berkenaan akan mencari dan memburu lembu lain,” katanya yang memiliki kira-kira 50 lembu.

Katanya, dia membuat laporan polis mengenai kejadian namun sudah dihubungi oleh pegawai Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) yang menasihatinya supaya berjaga-jaga.

“Setakat ini saya mengambil langkah berjaga-jaga, termasuk memerhatikan kawanan lembu saya dan membiarkan mereka bebas di dalam kebun, bukannya dikurung dalam kebun berpagar elektrik.

“Pada waktu malam saya membuat unggun api bagi menakutkan haiwan buas supaya tidak menghampiri kawasan kebun dan kawanan lembu milik saya,” katanya.

Katanya, dia yakin haiwan buas berkenaan adalah harimau berdasarkan kesan tapak kaki yang ditemui di sekitar bangkai ternakannya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin ketika dihubungi berkata, pasukannya sedang menyiasat kes berkenaan.

Terdahulu, tular di media sosial mengenai kejadian berkenaan hingga mendapat perhatian ramai.

Sumber: Harian Metro

 

Baca Juga: Seorang Kanak-Kanak Perempuan Maut dalam Kemalangan.

Kanak-kanak perempuan antara dua individu maut, manakala enam orang pula cedera dalam insiden kemalangan jalan raya di Kilometer 452, Lebuh Raya Utara-Selatan, arah selatan, awal pagi tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor, Norazam Khamis berkata, pihaknya menerima panggilan insiden tersebut sekitar pukul 2.29 pagi dan sampai ke lokasi 26 minit kemudian.

Katanya, susulan laporan itu, seramai 14 anggota bergegas ke lokasi kejadian bersama dua jentera dari Balai Bomba Penyelamat (BBP) Rawang dan BBP Sungai Buloh.

“Laporan awal mendapati, kemalangan tersebut melibatkan dua kenderaan antara kereta Proton Wira dan Toyota Vios.

“Insiden tersebut menyebabkan lapan mangsa terlibat dan mendapati dua disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), dua parah dan empat lagi cedera ringan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jelas beliau, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan oleh orang awam sebelum pihak bomba sampai ke lokasi kejadian.

Mengulas lanjut mengenai keadaan mangsa, Norazam memaklumkan kesemua mereka yang cedera dikejarkan ke Hospital Sungai Buloh.

“Dua mangsa yang meninggal dunia adalah lelaki dewasa dan kanak-kanak perempuan, mangsa yang cedera pula dua wanita dewasa.

“Diikuti dengan jumlah yang cedera ringan pula seramai empat orang,” jelasnya.

Sumber: KMN

 

Share.

Leave A Reply