Penduduk Jumpa Bangkai Gajah Betina Di Tepi Jalan | Bangkai gajah betina ditemukan di tepi Jalan Empangan Pedu berdekatan Kampung Pinang, Pedu, di sini, pagi tadi.

Penduduk Jumpa Bangkai Gajah Betina Di Tepi Jalan

Penduduk, Shazwan Ismail, 25, berkata bangkai haiwan liar itu ditemukan seorang jirannya yang keluar menoreh getah kira-kira jam 7.30 pagi.

“Gajah itu ditemukan mati dalam keadaan terduduk dan terdapat kesan darah bersama najisnya berkemungkinan termakan racun atau baja tanaman kebun.

“Penduduk kampung sudah lebih sebulan melihat sekumpulan tujuh gajah berkeliaran di kawasan kebun getah, ada kemungkinan gajah betina ini salah seekor daripada kawanan haiwan liar itu,” katanya ketika ditemui.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim, berkata pihaknya menerima maklumat awam mengenai kejadian itu kira-kira jam 8.30 pagi.

Katanya, pihaknya masih menyiasat kejadian itu dan perlu menunggu laporan berkaitan bagi mengetahui punca kematian gajah berkenaan.

“Pasukan forensik dari Ibu Pejabat Jabatan Perhilitan Kuala Lumpur akan turun ke lokasi untuk menyiasat punca kematian gajah ini.

“Saya perlu tunggu laporan mereka terlebih dahulu,” katanya ketika dihubungi.

Sumber : HM

Share.

Leave A Reply