Penemuan Objek Aneh Dirakam Kenderaan Jelajah Bulan Milik China | BEIJING: Penemuan objek berbentuk kiub oleh kenderaan penjelajah bulan milik China, Yutu-2, menimbulkan perasaan ingin tahu dalam kalangan masyarakat antarabangsa.

Menurut saluran sains China, Our Space, kenderaan pemantau Chang’e-4 yang dibawa oleh Yutu-2 dilaporkan merakam objek tidak jelas tetapi menarik pada jarak kira-kira 80 meter dari kedudukannya ketika misi hari ke 36 di bulan.

Menerusi rakaman diperoleh, tercetus perdebatan di media sosial, dengan ada yang menyifatkannya ia sebagai serpihan batu kecil yang berlanggar dengan bulan.

Wartawan angkasa lepas, Andrew Jones pula sebaliknya menganggap objek berkenaan sebagai bongkah batu yang besar.

Bagaimanapun, menurut badan astronomi amatur dari Texas, Viu Mobile, perkara itu tidak dapat dijelaskan lagi kerana hasil rakaman menunjukkan terdapat banyak garis lurus, sesuatu yang sangat jarang berlaku dan biasanya berasaskan fraktal.

“Ia mungkin sesetengah struktur daripada tamadun purba di bulan,” kata seorang penggiat astronomi, David Michaels, menerusi ciapan Twitter.

Bagaimanapun, warga siber sudah mula menjadikannya sebagai bahan jenaka dengan membandingkan ia dengan objek seperti Arc de Triomphe di Paris, Marble Arch di London dan juga Istana Guanghan.

Malah, imej kabur itu juga menjadi bahan meme di ruang siber dengan ada yang menggunakan teknologi grafik bagi ‘menambah baik’ gambar berkenaan menjadikannya mirip kepada portal Minecraft atau kereta mini Nissan.

Namun, ada juga yang memandang serius dan mengemukakan teori objek berkenaan mungkin pembentukan batu yang nampak seperti kiub kerana pencahayaan atau sudut penggambaran sehingga mungkin kelihatan seperti buatan manusia.

Our Space, yang memetik Pentadbiran Kebangsaan Angkasa Lepas China (CNSA), menyatakan Yutu-2 akan menghabiskan masa kira-kira dua atau tiga bulan lagi untuk mendekati objek itu.

Kenderaan pemantau Chang’e-4 yang dilancarkan pada 8 Disember 2018 itu melakukan pendaratan pertama di Kawah Von Karman di Lembah South Pole-Aitken di bulan pada 3 Januari 2019. – AGENSI

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply