Pengalaman Hilang Ahli Keluarga Buat Kali Pertama | Assalamualaikum saya berumur 24 tahun dan ingin menceritakan kisah kali pertama hilangnya ahli keluarga buat pertama kali dalam hidup. Kisah ini berlaku sebelum PKP bermula lagi tapi baru sekarang nak share pengalaman ini.

Ayah saya telah dijemput meninggalkan dunia ini pada Bulan Februari
tahun 2020. Itulah kali pertama dalam hidup saya kehilangan ahli keluarga.

Perasaan saya ketika itu gembira, bersyukur, sedih dan redha. Mungkin
ada yang cakap kenapa saya boleh gembira dalam situasi kehilangan ahli
keluarga.

Untuk pengetahuan pembaca, ayah saya sudah 2 tahun sakit dan terlantar
di atas tilam. Semakin lama penyakitnya semakin teruk dan dia tak boleh
berjalan.

Sebelum ini ayah saya antara orang terkuat pergi surau solat lima waktu
berjemaah, setiap hari baca al-quran dan bangun qiamullail.

Antara amalan yang saya dengar daripada ahli keluarga saya, ayah saya
pada waktu malam berzikir membaca Astaghfirullahalazim sebanyak 2000
kali setiap waktu malam.

Ketika hidupnya, dia banyak membantu orang yang memerlukan pertolongan,
banyak merawat orang yang sakit sehingga sembuh. Bahkan ketika arwah
nenek masih hidup, ayah pernah mencium kaki dihadapan kami adik beradik
minta maaf pada nenek.

Memang kalau nak cerita sangat banyak kebaikan dia di dunia ini. Dengan
kami adik beradik nafkah tak pernah tak diberi, ayah tetap akan kerja
tengah panas demi mencari rezeki bagi menampung kami sekeluarga.

Tapi kerana beberapa kisah saya telah derhaka pada ayah saya, dua tahun
tidak bertegur sapa. Walaupun saya sudah menegur ayah saya dan minta
maaf pada hari raya akan tetapi kemesraan antara seorang anak dan ayah
tidak seperti sebelum cetusnya pergaduhan.

Semua salah saya kerana mengatakan ayah saya b*d*h dan sombong tak nak
tegur. (YA Allah berdosanya hambamu ini)

Dipendekkan cerita, apabila ayah saya dah nak meninggalkan dunia saya
dapat satu perasaan yang pelik seolah olah akan berlaku sesuatu kepada
keluarga saya.

Ketika itulah saya tetiba selalu membuka ceramah ustaz wadi anuar
tentang kem4tian dan ceramah ustaz dusuki akan sakitnya kem4tian.

Ketika mendengar ceramah saya merasa insaf dan mula menegur serta
mengurut ayah saya yang terbaring di atas tilam. Walaupun tak lama
kerana akward saya cuba juga kuatkan diri jaga ayah saya.

Saya masih ingat hari terakhir saya memakaikan dia baju, tak sangka
itulah saat terakhir saya melihat dia dalam keadaan sedar.

Ketika itu hati saya berkata kata “mungkin inilah saat terakhir aku akan
melihat ayah aku dalam keadaan sedar sebegini”. Lalu ayah saya diangkut
menggunakan ambulan.

Esoknya pukul 12 malam abang saya call untuk datang hospital ayah saya
dah tenat minta datang dan bacakan yasin.

Kami sekeluarga datang untuk bacakan yasin moga arwah ayah sembuh jika
umur masih panjang dan jika umurnya dah tak panjang mohon mudahkan
sakaratul maut.

To be honest, ayah tak nak datang ke hospital sebab dia cakap dia nak
m4ti kami sekeluarga ada disekelilingnya. Dia tak nak m4ti berada
sendirian di hospital. Kenapa?

Sebelum ini ayah saya pernah masuk wad ICU dan dia berada sendirian
ketika itu. Dia ternampak sekumpulan syaitan sedang menghasut orang yang
sedang nazak untuk keluar dari islam. Saya dapat cerita ini selepas ayah
meninggalkan dunia daripada kakak saya.

Allah makbulkan doa ayah saya, ketika dia sedang sakaratul maut. Kami
sekeluarga ada di sekeliling membaca yasin dan talkin di telinga Ayah
menyebut “Lailahaillallah (Tiada Tuhan Selain Allah)”. Kami membaca
yasin tidak berhenti daripada pukul 2 pagi sehingga 4.30 pagi.

Ketika saya membaca talkin saya ternampak lidah ayah saya bergerak gerak
ketika itu Ayah saya sedang berada dalam keadaan koma dan tidak sedarkan
diri tapi saya nampak dengan jelas lidah ayah saya bergerak seperti
mengikuti bacaan talkin LAILAHAILLAH.

Akhirnya ayah saya telah meninggalkan dunia dan kami sekeluarga ada
ketika itu. Doa ayah saya dikabulkan dia meninggal dalam dakapan semua
ahli keluarganya.

– Si Anak Yang Menyesal (Bukan nama sebenar)

 

Kredit: IIUM Confessions

 

Share.

Leave A Reply