Petua Menghalau Serangga Dan Haiwan Perosak | Tak kira sama ada anda tinggal di bandar atau luar bandar, rumah jenis apa yang anda diami, atau di tingkat berapa anda duduk, kita semua mengalami masalah yang sama: serangan daripada serangga dan haiwan perosak. Serangga zaman moden dah kebal dengan segala racun serangga. Sembur la banyak mana pun, dia masih boleh terbang dengan bahagianya.
1. Cicak
Pastinya anda terbayangkan najis dan telur cicak ini yang bukan sahaja menjadikan rumah anda kotor, malah boleh mengundang penyakit yang tidak diingini seperti Samonella. Ini bukan sahaja membuatkan rumah anda berbau busuk malah menjejaskan tahap kesihatan anda sekeluarga terutamanya kanak-kanak. Sebelum anda cuba sebarang cara daripada sumber semulajadi ataupun bahan kimia untuk mengatasi masalah cicak ini, terdapat beberapa langkah pencegahan utama yang anda boleh lakukan bagi mengatasi punca utama masalah reptilia ini. Anda boleh cuba cara-cara ini:
- Cuka, lemon dan serbuk cili
Campurkan serbuk lada hitam dan serbuk cili. Kemudian, larutkan dengan cuka dan air. Seterusnys, masukkan di dalam botol spray dan gocangkan sehingga campuran tersebut sebati. Semburkan di kawasan yang selalu ada cicak.
- Kopi dan tembakau
Jika cara lain tidak berjaya untuk menghalau cicak, gunakan petua ini untuk membunuh reptilia tersebut! Campurkan serbuk kopi dan tembakau, kemudian bentukkan seperti bebola kecil. Gunakan pencungkil gigi dan lekatkan bebola kecil ini pada pencungkil gigi. Kemudian, letakkan bebola kecil ini di sekitar kawasan rumah yang selalu ada cicak kerana reptilia ini kerana tertarik dengan bau campuran ini. Serbuk tembakau merupakan racun kepada cicak dan akan menyebabkan cicak mati.
2. Nyamuk
Sudah menjadi tanggungjawab kita semua untuk memastikan kawasan setempat dan tempat tinggal bebas penyakit. Bak kata orang, cegah sebelum parah. Apa kata anda cuba 12 tanaman, tumbuhan dan pokok-pokok ini untuk menghalau nyamuk. Bukan sahaja ia berkesan, malah selamat dan semulajadi.
- Bunga tahi ayam
Kurangkan penularan wabak denggi dengan bunga tahi ayam. Walaupun rupanya cantik dan menyerlah, bunga tahi ayam atau Lantana Camara amat ‘ditakuti’ disebabkan oleh baunya yang agak busuk, terutamanya bila ia telah dihancurkan sehingga lumat. Letak pokok bunga tahi ayam yang kecil di dalam rumah. Jika baunya terlalu mengganggu, letakkan ia di luar rumah berdekatan dengan bekas takungan air (seperti pasu atau baldi) atau saluran longkang.
- Daun selasih/ Basil
Selasih atau Basil bersifat toksik terhadap nyamuk. Ini menjadikannya antara penghalau nyamuk semula jadi yang paling berkesan. Anda boleh tanam selasih di dalam pasu-pasu kecil dan letakkannya di dapur atau di bahagian-bahagian rumah yang lain seperti tingkap.
3. Tikus
Tikus adalah masalah yang paling ramai orang benci, dan paling ramai juga yang takut untuk menghalaunya. Haiwan perosak ini sememangnya licik. Melainkan kita berjaga seharian, hakikatnya tikus sukar ditangkap. Namun, kami ada cara bagaimana anda boleh bersedia untuk mengatasi masalah ini.
- Pudina
Bahan-bahan asasnya dihasilkan daripada daun pudina, tidak kisahlah minyak pudina, daun pudina atau ubat gigi pudina sekalipun. Secara asasnya, tikus bencikan bau pudina. Sebaik sahaja ia menyentuh atau tercium bau pudina, mereka akan lari bertempiaran.
- Serbuk kentang putar segera
Kerak halus daripada ubi tadi akan mengembang di dalam perut dan menyebabkan tikus mati. Kejam, tapi berkesan.
4. Lalat buah
Selain bunyinya yang sangat menjengkelkan, lalat buah ini juga mampu menyebarkan penyakit dan jangkitan. Mereka akan hinggap pada apa-apa sahaja dan segala-galanya, terutamanya pada najis. Selain itu, mereka juga akan berak di setiap tempat yang dihinggapi. Oleh itu, amat penting untuk tidak membiarkan mereka terbang di sekitar rumah anda sewenang-wenangnya, terutama di kawasan dapur. Ini tip-tip yang mungkin anda tidak pernah tahu untuk memastikan rumah anda bebas dari lalat buah yang menjengkelkan.
- Pisang
Anda boleh buat perangkap pisang. Oleh kerana lalat buah lebih tertarik dengan bau buah-buahan yang masak ranum, gunakan sedikit pisang atau buah-buahan lain dan letakkan ke dalam balang. Anda boleh tambahkan cuka jika anda mahu. Buat corong yang sama dan biarkan ia menangkap lalat-lalat tersebut untuk anda. Sekiranya anda tidak selesa dengan idea untuk meninggalkan buah-buahan yang telah masak ini dalam keadaan terbuka, anda boleh mempertimbangkan satu lagi pilihan di bawah ini.
- Cuka
Jika racun pilihan anda ialah cuka, isi balang tersebut secukupnya dengan cuka. Pastikan anda menggunakan cuka yang berbau kuat seperti cuka epal, balsamic atau wain merah. Buat corong dengan helaian kertas dan letakkan corong pada mulut balang. Salah satu alternatif adalah dengan menggunakan plastik. Tutup bahagian mulut balang tersebut seketat-ketatnya dengan balutan plastik dan buat beberapa lubang pada balutan plastik tersebut. Ini membolehkan lalat merangkak masuk tetapi menghalangnya daripada keluar.
5. Lipas.
Lipas sangat menjijikkan, terutamanya yang boleh terbang! Gunakan bahan-bahan ini untuk menghalau mereka:
- Daun Bay (Bay leaf)
Selain menaikkan rasa dan aroma masakan, daun bay mempunyai bau kuat yang membuatkan lipas lari. Ambil beberapa helai daun ini dan hancurkannya. Kebiasannya lipas sukakan kawasan seperti sudut-sudut rumah yang gelap. Jadi, letakkan daun bay yang telah dihancurkan tersebut di kawasan-kawasan berikut.
- Kulit telur
Jemur kulit telur di bawah cahaya matahari sehingga kering. Kemudian, tumbukkan hingga hancur dan taburkan di kawasan yang selalu ada lipas. Contohnya, di bahagian dapur yang selalu menjadi laluan serangga perosak ini. Taburkan pada waktu malam dan anda boleh lihat serangga-serangga ini mati keesokan harinya. Petua ini bukan sahaja boleh diamalkan untuk menghapuskan lipas malah turut berkesan untuk menghindari anai-anai dan tikus! Lebihan kulit telur yang telah ditumbuk halus ini pula boleh disimpan di dalam botol untuk dijadikan stok racun perosak.
- Serbuk penaik
Buat ‘perangkap’ semulajadi menggunakan gula dan serbuk penaik. Lipas akan tertarik dengan bau gula, sementara serbuk penaik akan membunuh lipas secara halus dengan cara merosakkan sistem tubuh serangga tersebut. Campur satu sudu besar gula dan satu sudu besar serbuk penaik ke dalam mangkuk kecil dan gaulkan. Pastikan campuran ini diletakkan di tempat yang selalu ada lipas seperti di dapur, bilik mandi dan laluan lipas yang lain.
- Minyak pati
Bau pokok teh dan minyak pati kayu putih (eucalyptus), lavender dan pudina (peppermint) boleh menyekat deria bau lipas ketika ia mencari makanan. Buat semburan dengan mencampurkan 300ml air dan 15-20 titis minyak pati ke dalam botol penyembur. Kemudian, goncangkan dan semburkan di bahagian-bahagian gelap tempat lipas selalu bersembunyi. Selain itu, anda juga boleh sapukan beberapa titis minyak pudina di bahagian-bahagian di mana lipas selalu muncul. Bau minyak pati yang sangat pekat juga mampu membunuh lipas (terutamanya bau pudina) dan ini boleh membasmi serangga ini buat selama-lamanya!
6. Semut
Semut sememangnya menjengkelkan. Nak hapuskan mereka? Gunakan bahan-bahan ini:
- Uncang teh
Anda suka minum teh? Jangan buang uncang teh yang telah digunakan! Campurkan sedikit minyak pati pudina (peppermint) pada uncang teh yang telah dikeringkan dan letakkan ia di tempat yang banyak semut. Kalau anda memang selalu minum teh pudina, tugas anda nampaknya lebih mudah! Ambil uncang teh yang telah digunakan dan letakkan terus di kawasan ‘kegemaran’ semut. Lambat laun mereka akan hilang kerana bencikan bau pudina.
- Daun pandan
Wangi bukan sebarang wangi ya. Bau wanginya yang kuat boleh menghalang deria bau semut ketika mencari gula atau manisan. Ambil beberapa helai daun pandan dan cincangkan. Taburkan di tempat yang banyak semut atau campurkan terus ke dalam bekas gula atau beras. Dalam beberapa jam, serangga ini akan keluar sendiri. Selain itu, anda juga boleh letakkan helaian daun pandan di dalam almari, laci atau kabinet. Daun pandan juga berkesan untuk menghalau lipas.
- Serbuk kopi
Bukan yang 3-in-1 dan tinggi kandungan kalorinya ya, tetapi serbuk kopi asli yang pekat dengan aroma yang kuat kerana ia mampu menyekat deria bau semut. Tabur atau letakkan sedikit serbuk kopi di kawasan yang sering dihurung semut. Anda juga boleh taburkan serbuk kopi pada tanaman anda yang sering diserang serangga ini. Biarkan serbuk kopi tersebut untuk beberapa hari kerana semut akan menjauhi kawasan tersebut dan tidak akan kembali.
- Cuka
Selain baunya yang kuat, cuka mengandungi kandungan asid yang tinggi yang boleh membunuh semut. Larutkan sedikit air dan cuka di dalam botol penyembur dan goncangkan. Setelah itu, semburkan ia ke kawasan atau laluan yang ada semut sekerap yang mungkin selama beberapa hari. Ulang beberapi kali sehingga larutan ini kering dan anda akan lihat kesannya.
7. Lipan
Selain rupanya yang mengerikan, lipan juga boleh menyengat anda! Yang lebih menggerunkan lagi, mereka gemar berkampung di dalam tangki septik najis yang ada di rumah! Gunakan bahan-bahan ini untuk menghalau mereka:
- Daun Pandan
Daun pandan memang banyak kegunaannya. Selain mewangikan nasi dan mengusir semut, ia juga mampu mengusir lipan! Hiris beberapa helai daun pandan dengan halus dan masukkan ke dalam pinggan atau mangkuk kecil. Letakkan ia di kawasan tempat lipan bersembunyi, seperti ruangan yang lembab dengan bukaan atau celahan lubang yang kecil. Bau pandan membuat lipan tidak selesa dan serangga ni akan beransur hilang dari rumah anda.
- Garam
Garam bukan sahaja berkesan untuk menghalau lipan malah berkesan untuk mengusir haiwan berbisa seperti ular. Taburkan garam di tempat-tempat persembunyian lipan seperti kawasan yang lembap dan ulang beberapa kali sehingga anda betul-betul yakin serangga ini tidak kembali lagi.
8. Pepijat
Kalau anda sering merasa gatal-gatal terutamanya di tempat tidur, ia mungkin disebabkan oleh pepijat yang menghisap darah anda secara senyap-senyap. Gunakan soda bikarbonat untuk menghalau mereka. Ini caranya:
- Tuang soda bikarbonat ke dalam mangkuk.
- Dengan menggunakan berus cat, sapukan ke atas permukaan keras seperti meja sisi katil dan ke dalam retakan yang ada. Sapukan juga ke atas tilam, di antara spring tilam dan juga pada birai katil.
- Tinggalkan selama seminggu untuk membunuh pepijat serta telurnya.
9. Anai-anai
ika dibiarkan, lama-kelamaan pintu, tingkap dan perabot kayu anda akan mereput dan rosak. Gunakan bahan-bahan ini untuk menghalang anai-anai:
- Air cucian beras
Nanti dulu! Jangan buang air cucian beras! Simpan air cucian beras di dalam bekas atau botol penyembur. Kemudian siram terus ke atas sarang anai-anai atau semburkan ke permukaan kayu yang diserang mereka untuk pembasmian secara menyeluruh. Petua ini sangat berkesan untuk menghapuskan anai-anai dari terus bersarang di rumah anda.
- Kapur sirih
Oleh kerana anai-anai mempunyai kulit yang halus, mereka sangat takut dengan kapur sirih yang bersifat panas dan boleh membakar kulit mereka. Sama seperti air cucian beras, siram air kapur sirih ke atas sarang mereka atau semburkan ia ke permukaan kayu yang diserang.
10. Labah-labah
Geram dengan sawang labah-labah yang banyak di rumah anda? Gunakan bahan-bahan ini untuk mengusir mereka:
- Air Garam
Larutan air garam mampu membunuh labah-labah. Larutkan air suam dengan satu sudu besar garam di dalam botol penyembur. Kemudian, semburkan di tempat yang selalu ada sawang.
- Kulit oren atau limau
Jangan buang kulit buah limau kerana ada kegunaannya. Bau sitrus boleh ‘menyengat’ labah-labah yang membuatkan mereka lari. Letakkan sisa kulit oren atau limau berdekatan dengan sarang mereka atau di sudut-sudut yang selalu ada labah-labah. Lama-kelamaan, serangga ini tidak akan beransur hilang dan tidak kembali lagi!
- Serbuk kulit kayu manis
Taburkan serbuk kayu manis di celah-celah lubang kecil atau di kawasan labah-labah gemar merayap. Ini boleh menghalang labah-labah daripada masuk ke dalam rumah anda.
Sumber: iproperty