Pihak Israel Lancar Serangan Ke Gaza Dari Pelbagai Arah | Konflik antara Palestin dan Israel masih lagi berlangsung dengan masing-masing membalas serangan dengan cara tersendiri terutamanya Israel yang menyerang Palestin dari pelbagai arah.

Pihak Israel Lancar Serangan Ke Gaza Dari Pelbagai Arah

Gaza: Israel melancarkan serangan secara bertalu-talu di beberapa bahagian di Kota Gaza yang disekat pada isnin.

Pesawat perang Israel mengebom banyak sasaran di selatan, barat, dan utara Gaza pada waktu malam, lapor wartawan.

Menurut saksi, beberapa kawasan yang dimiliki pejuang Palestin, ladang pertanian, jalan raya, dan infrastruktur menjadi sasaran serangan berkenaan.

Beberapa pusat keselamatan di selatan dan barat kota diruntuhkan dengan serangan turut menyebabkan kerosakan kepada banyak bangunan, rumah dan jalan raya.

Tambah saksi lagi, bekalan elektrik turut terputus di kawasan berdekatan serangan.

Kapal perang Israel yang ditempatkan di laut juga melepaskan tembakan ke pantai Gaza. Belum ada kenyataan yang disiarkan mengenai sasaran itu.

Sementara itu, sayap ketenteraan gerakan pejuang Palestin, Briged Ezzeddin al-Qassam, mengatakan serangan Israel terhadap orang awam dibalas dan mereka membedil roket ke bandar Beersheba dan Ashkelon, dan juga menyasarkan beberapa kawasan penempatan.

Menurut Kementerian Kesihatan, angka kematian akibat serangan Israel di semenanjung Gaza pada Ahad meningkat kepada 197 orang, termasuk 58 kanak-kanak dan 34 wanita manakala bagi jumlah yang cedera pula mencecah 1,235 orang, sementara puluhan bangunan musnah.

Ketegangan baru-baru ini yang bermula di Baitulmaqdis Timur pada bulan Ramadan merebak ke Gaza selepas kumpulan pejuang Palestin di sana berikrar untuk membalas serangan Israel di Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah jika serangan mereka tidak dihentikan.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, tempat Al-Aqsa berada ketika perang Arab-Israel 1967. Ia menceroboh seluruh kota pada 1980 dalam gerakan yang tidak pernah diiktiraf oleh masyarakat antarabangsa.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply