PMO Dedah Tiada Perjumpaan Hari Ini. Ini Jawapan Balas DS Zahid Hamidi

| March 2, 2020 | 0 Comments

PMO Dedah Tiada Perjumpaan Hari Ini. Ini Jawapan Balas DS Zahid Hamidi | Perbicaraan kes DS Zahid Hamidi tertangguh hari ini, katanya PM panggil nak bentuk kabinet tetapi dinafi oleh PMO. Bila ditanya mahkamah, ini jawapan balas DS Zahid Hamidi. Jangan tak baca tau.

Jumpa PM: Zahid Kata Lewat Tiba, Muhyiddin Ke Tempat Lain

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi hari ini diminta hakim supaya memberi penjelasan mengenai pertemuannya yang didakwanya perlu dibuat dengan perdana menteri tetapi kemudian dinafikan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) tengah hari tadi.

Ahmad Zahid diarah berbuat demikian selepas Hakim Mahkamah Tinggi Collin Lawrence Sequerah memanggil semula bekas timbalan perdana menteri itu petang ini setelah membenarkan kes beliau ditangguhkan.

Alasan yang diberikan ialah Ahmad Zahid perlu berbincang dengan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengenai pembentukan kabinet baru.

Menjelaskan hal itu kepada Sequerah, Ahmad Zahid berkata, dia memang ada menerima surat daripada Pejabat Perdana Menteri (PMO) yang menjemputnya menghadiri pertemuan pada jam 12.30 tengah hari tadi.

Bagaimanapun kata Ahmad Zahid beliau terlewat tiba iaitu kira-kira 15 minit kemudian dan Muhyiddin sudah bertolak ke tempat lain.

“Selalunya, dalam kerajaan baru, pemimpin parti politik perlu berbincang kedudukan anggota parlimen kami untuk dilantik dalam barisan kabinet,” katanya yang menjelaskan senarai itu tidak boleh didedahkan kerana merupakan hal sulit.

Tak Boleh Diterima Langsung

Bagaimanapun, timbalan pendakwa raya Raja Rozela Raja Toran meminta Ahmad Zahid menjelaskan tarikh surat yang dimaksudkan dan tarikh ia dihantar, selain mempersoalkan sekiranya benar ada surat sedemikian, mengapa JMP mengeluarkan penafian hari ini.

Ketika ditanya hakim apakah Ahmad Zahid boleh menyerahkan surat berkenaan, beliau berkata ia akan diserahkan kepada mahkamah esok.

Terdahulu, Raja Rozela mendakwa Zahid menghina mahkamah kerana “menipu, dan dengan sengaja memperdayakan mahkamah untuk mendapat cuti satu hari” daripada perbicaraannya.

“Ini tidak boleh diterima. Kami dibuat nampak seperti orang bodoh.

“Kami percaya kata-kata mereka, atas kepercayaan yang tulus, dan ini yang kami dapat.

Hal itu berlaku selepas peguam bela Ahmad Zahid, Hisyam Teh, memohon maaf kepada hakim sebaik perbicaraan bermula dan menjelaskan pihaknya langsung tidak mempunyai niat memperdayakan mahkamah.

Namun katanya masalah itu mungkin timbul akibat “pemilihan kata yang silap” oleh “peguam junior” dalam membuat permohonan pagi tadi.

Untuk rekod, permohonan itu dibuat oleh peguam bela Hamidi Mohd Noh, dan menyatakan bahawa penangguhan itu dikemukakan bagi memberi ruang kepada Ahmad Zahid terlibat dalam perbincangan dengan perdana menteri untuk pembentukan kabinet.

Hisyam yang bercakap selepas Hamidi turut bercakap perkara sama.

Bagaimanapun, Hisyam sebentar tadi menafikan beliau ada menggunakan perkataan “perdana menteri” seperti yang dilaporkan oleh media.

Hal itu, disanggah Raja Rozela yang membaca kembali notanya yang dicatat semasa perbicaraan pagi tadi.

“Saya sanggah. Beliau berkata: “untuk berbincang dengan perdana menteri’,” katanya.

Sequerah akan memutuskan permohonan pihak pendakwaan untuk mengaitkan Ahmad Zahid dengan menghina mahkamah esok, selepas Ahmad Zahid menyerahkan surat jemputan dari PMO seperti yang didakwa.

BACA : Perbicaraan Kes Rasuah Zahid Hamidi Ditangguh. Ini Puncanya Yang Ramai Tak Sangka

Sumber: Malaysiakini

Tags: , , , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *