Polis sedang mengesan seorang lelaki yang telah bertindak meludah sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang wanita.
Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, kejadian itu berlaku di persimpangan Jalan Lapangan Terbang lama, Kuala Lumpur.
Jelasnya, kenderaan mangsa telah dihalang oleh suspek yang juga memandu Perodua Myvi ketika wanita itu menghala ke Jalan Dewan Bahasa.
“Lelaki yang berusia 20-an itu telah mengekori, memotong dan memberhentikan kenderaan secara mengejut di hadapan mangsa. Suspek yang tidak dikenali itu kemudian turun dari kereta dan memarahai mangsa sebelum bertindak meludah kenderaan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut Amihizam lagi, pihaknya telah merakam percakapan mangsa dan sedang mengesan suspek terbabit menerusi nombor pendaftaran kereta yang digunakan. Motif kejadian kes itu juga masih lagi dalam siasatan.
Kes itu kini disiasat di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955.
Polis juga menasihatkan orang ramai supaya sentiasa berhati-hati dan laporkan sebarang perbuatan yang boleh menimbulkan kegusaran dan mengancam keselamatan masyarakat.
Sumber : SK