PRU-15: Ini Calon PM Jika BN Menang Pilihan Raya | UMNO kekal dengan keputusannya untuk menamakan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai calon Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Presidennya, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, menafikan dakwaan pembangkang yang dirinya akan dilantik ke jawatan itu jika BN kembali memerintah Kerajaan Persekutuan.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya tidak akan melangkaui kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong dalam pelantikan seorang Perdana Menteri.

“Kita berpegang kepada prinsip bahawa UMNO telah mencalonkan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai calon Perdana Menteri, itu tidak boleh dipertikaikan lagi.

“Namun, kuasa melantik Perdana Menteri adalah kuasa mutlak Yang di-Pertuan Agong mengikut peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Baginda juga mempunyai kuasa untuk melantik mana-mana Ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mempunyai sokongan majoriti Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Manakala, Dua UMNO bahagian masing-masing Kota Raja dan Kuala Langat meluluskan usul serta sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri sekiranya Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurut Ketua UMNO Bahagian Kota Raja Datuk Kamaruzaman Johari usul tersebut diluluskan dengan sebulat suara oleh semua perwakilan.

“Mesyuarat yang bermula pukul 2.30 petang dan tamat pukul 5 petang semalam telah meluluskan usul Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri selepas PRU15.

“Selepas mesyuarat, kita turut melancarkan jentera PRU15 Barisan Nasional (BN) Kota Raja yang dirasmikan Pengerusi BN Selangor, Tan Sri Noh Omar,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Kuala Langat, Abdul Razak Khasbollah memberitahu, walaupun tiada usul khas berhubung perkara itu namun tetap dibahaskan oleh perwakilan bahagian tersebut.

“Kita tetap memberi sokongan sebagaimana keputusan yang ditetapkan oleh Majlis Tertinggi (MT) sebelum ini,” katanya.

Turut juga menyokong adalah UMNO Bahagian Sepang bersetuju agar Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri jika Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) bulan depan.

Sokongan secara sebulat suara itu adalah antara beberapa usul yang dipersetujui kepimpinan bahagian tersebut pada Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Sepang 2022 di sini hari ini.

Ketua UMNO Bahagian Sepang, Noorazli Said ketika ditemui pemberita berkata, beliau bersyukur apabila perwakilan yang hadir memberi sokongan amat penuh menjelang kempen PRU15 akan datang.

“Ini membuktikan bahawa semua perwakilan telah mengambil maklum mengenai keputusan yang ditetapkan ketika penutup Perhimpunan Agung UMNO 2021 pada 19 Mac lalu,” katanya.

Mengulas lanjut, Noorazli bagaimanapun berkata, UMNO Bahagian itu menyerahkan kepada pucuk kepimpinan parti tersebut atau dirujuk sebagai Top 5 jika ada nama lain sebagai calon.

“Ini juga selaras dengan ketetapan Perhimpunan Agung UMNO agar jika Ismail Sabri tidak sesuai, maka pihak Top 5 diberikan kuasa untuk memilih siapakah calon lain pula,” jelasnya.

Selain itu, Sebanyak 70 peratus daripada calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) adalah terdiri daripada muka baharu.

Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, parti itu akan memastikan muka baharu itu adalah berkaliber, memiliki kelayakan akademik dan akhlak yang baik serta mempunyai komitmen tinggi untuk membantu rakyat.

Presiden UMNO itu mengakui keputusan itu bukan mudah tetapi perlu dilakukan supaya rakyat dapat melihat BN sudah berubah untuk memenuhi keperluan rakyat.

“Tetapi, sebagai Pengerusi BN dan Presiden parti, saya perlu berlaku adil, perlu kekalkan juga muka lama agar ada keseimbangan dan keadilan,” katanya berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bagan Datuk di sini hari ini.

Menurut Ketua UMNO Bagan Datuk itu, pihaknya juga akan cuba memenuhi permintaan agar 30 peratus daripada calon BN adalah golongan wanita.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply