Seorang remaja menjadi mangsa kedua banjir di negeri ini apabila dilaporkan ditemukan lemas selepas tergelincir dan dihanyutkan arus ketika menunggang basikal di tepi tali air di Kampung Talang Kadok, di sini pada Ahad.
Mayat Muhammad Fazly Kamri, 13, dijumpai jam 10 malam oleh anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) Bomba kira-kira 50 meter dari lokasi terakhir dia dipercayai hilang.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, remaja berkenaan dikatakan telah tergelincir masuk ke dalam tali air semasa menunggang basikal.
Beliau menasihatkan agar ibu bapa supaya memantau pergerakan anak masing-masing bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Dalam kejadian jam 6.20 petang itu, mangsa dikatakan menunggang basikal bersama dua sepupunya untuk ke rumah nenek mereka tidak jauh dari rumah masing-masing.
Menerusi Sinar Harian semalam melaporkan, seorang warga emas dikhuatiri hilang selepas terjatuh ke dalam Sungai Galas di Pengkalan Lan, Kampung Kuala Gris di sini menjadi mangsa korban pertama banjir di negeri ini apabila ditemukan lemas pada Ahad.
Mayat Mohamad Ishak, 70, ditemui pada jam 7 malam oleh penduduk setempat.
Sumber: Sinar HarianĀ