Tular Calon DAP Johor Jaya Kena Bebel Dengan Penjaja Kerana ‘Tak Buat Kerja’ |Calon PRN DAP bagi Johor Jaya, Liow Cai Tung dileter oleh seorang penjaja tular dalam sebuah klip video ketika dia mengadakan program ‘walkabout’.

Dalam klip video itu, penjaja yang menjual buah-buahan itu berdepan dengan Liow dan memberitahu bahawa dia suka DAP tetapi tidak akan menyokong Liow selepas mengadu bahawa wakil DAP itu tidak menyelesaikan masalah jalan raya.

“Saya suka DAP tetapi saya tidak akan menyokong dia, dia tidak boleh buat kerja, saya telah meminta anda untuk perbaiki simpang jalan di sana kerana terdapat banyak kemalangan tetapi anda tidak melakukannya untuk saya,” katanya.

Liow (atas) kemudian berkata dia telah berhubung dengan pihak berkuasa majlis tempatan tetapi penjaja itu terus berleter dalam campuran dialek Teo Chew dan Mandarin.

“Saya telah meminta anda untuk melakukannya satu hingga dua tahun yang lalu tetapi semua yang anda katakan adalah ‘ya, ya, ya’,” katanya.

Penjaja itu kemudiannya berpaling kepada Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang menemani Liow di Pasar Taman Johor Jaya dan memberitahu Lim agar menasihati calon mereka itu.

Liow, ketika dihubungi, berkata pejabatnya menerima aduan ketika Pakatan Harapan (PH) masih menerajui kerajaan negeri.

Dia berkata Majlis Bandaraya Johor Bahru, yang bertindak atas permintaan pejabatnya, pernah menaik taraf simpang yang menjadi pertikaian itu.

“Pada masa itu, majlis bandarara letak kotak kuning di persimpangan dan juga membina ‘speed bump’ tetapi penjaja itu mahu satu lagi ‘speed bump’ di seberang jalan.

“Jadi dia tidak berpuas hati dengan bagaimana majlis bandaraya mengendalikannya,” katanya.

Liow berkata majlis bandaraya dalam proses memasang lampu isyarat di persimpangan itu.

Menerima kritikan penjaja

Liow, yang merupakan penyandang di Johor Jaya, berkata dia menerima kritikan penjaja itu dan memahami kekecewaannya.

“Kami telah melakukan banyak penambahbaikan setempat tetapi mustahil untuk melakukan semuanya dengan sempurna, kami tidak sempurna,” katanya.

Ditanya sama ada insiden itu akan menjejaskan peluangnya di Johor Jaya, Liow berkata, reaksi orang awam sepanjang program ‘walkabout’ itu positif.

Liow akan berdepan calon BN Chan San San dan calon PN Ker Ching Sheng di kawasan campuran Johor Jaya.

Kerusi itu mempunyai kira-kira 47 peratus pengundi Cina, 43 peratus pengundi Melayu dan tujuh peratus pengundi kaum India.

Pada pilihan raya umum lepas, Liow menang dengan 15,565 majoriti undi di tengah-tengah gelombang sentimen antikerajaan kerana skandal 1MDB.

Walau bagaimanapun, Pakatan Harapan, termasuk DAP, sedang bergelut dengan kekecewaan pengundi selepas memegang kuasa hanya bertahan 22 bulan.

Kempen untuk PRN Johor bermula semalam dan akan berlangsung sehingga hari mengundi pada 12 Mac.

Sumber: Malaysiakini

Share.

Leave A Reply