Remaja Lumpuh Gigih Ulangkaji SPM, Berazam Ubah Nasib Keluarga |Pasir Mas: Walaupun diuji dengan kesakitan dan lumpuh separuh badan, namun ia tidak menghalang Husna Shafieka Husni Hanafi, 18, untuk menelaah buku pelajaran bagi menghadapi Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada Mac ini.

Remaja berjiwa kental itu sanggup belajar sambil meniarap di rumah walaupun kerap mengalami sakit melampau pada bahagian belakang badan.

Dia yang juga anak sulung daripada tiga beradik itu memerlukan bantuan penuh untuk duduk termasuk bangun daripada katil.

“Saya mula mengalami kesakitan pada Disember tahun lalu dan sekelip mata menjadi lumpuh daripada paras pinggang ke bawah pada Januari lalu. Kini saya tidak mampu berjalan dan hanya terbaring di katil.

“Sejujurnya, sedih dan hampir berputus asa, namun memikirkan bapa (Husni Hanafi Abu Kasim, 44) dan ibu (Suriana Mat Hussin, 46) saya menguatkan diri melawan sakit dan meneruskan perjuangan untuk menghadapi SPM.

“Lagipun, saya anak sulung yang mempunyai impian besar untuk mengubah nasib keluarga serta membalas jasa kedua-dua orang tua yang banyak berkorban buat kami adik beradik,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kedondong, di sini, hari ini.

Husna berkata, dia perlu menjalani rawatan susulan setiap bulan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, dan terpaksa menggunakan khidmat kereta tambang dengan bayaran sebanyak RM80 untuk pergi dan balik.

“SPM bakal tiba tidak lama lagi, saya berharap dapat mencapai keputusan yang baik dan dalam masa yang sama berdoa supaya segera pulih seperti biasa.

“Saya juga mahu merasa ke menara gading seperti orang lain untuk mengejar impian tanpa sebarang halangan,” katanya yang bercita-cita menjadi seorang jururawat.

Jelasnya, dia akan cuba mengambil peluang untuk belajar dengan sebaiknya walaupun kini dalam keadaan meniarap.

Nasib Husna turut mendapat perhatian pengasas Yayasan Raja Shamri (YRS), Raja Shamri Raja Husain,yang menziarahinya untuk menyampaikan sumbangan barangan keperluan, kerusi roda dan bantuan kewangan.

YRS turut menjadikan Husna sebagai anak asnaf dibawah kelolaan yayasan terbabit selain dalam perancangan untuk membantunya daripada segi perubatan.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply