Respect Abang Polis! Sanggup Bersihkan Longkang Demi Kelancaran Trafik

| January 12, 2022 | 0 Comments

Respect Abang Polis! Sanggup Bersihkan Longkang Demi Kelancaran Trafik | PUTATAN: Biar seragam putih tercalit kotoran asalkan integriti tidak tercalar, itu gambaran terhadap tindakan seorang anggota polis trafik yang sanggup turun membersihkan sampah yang menyebabkan longkang di tepi jalan raya di Kampung Meruntum, di sini, tersumbat, pagi tadi.

Tindakan Koperal Shah Erman dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang itu bagi mengalirkan air dalam longkang supaya tidak bertakung di jalan raya.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim, berkata Shah Erman ketika itu menjalankan tugas ‘point duty’ bersama dua lagi anggota, Sarjan Fadzil dan Konstabel Syazwan yang turut mengawal lalu lintas.

“Mereka juga menjalankan tugasan melancarkan aliran trafik di kawasan itu dan pada masa sama Koperal Shah Erman membersihkan sisa kotoran dalam longkang tersumbat yang menyebabkan takungan air di jalan berkenaan.

“Saya ucapkan syabas kepada Koperal Shah Erman atas sikap positif yang ditunjukkan kepada masyarakat,” katanya dalam satu hantaran di Facebook rasmi IPD Penampang, hari ini.

Shah Erman berusia 35 tahun berasal dari Kuantan, Pahang, sudah sembilan tahun berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Menerusi hantaran itu satu video berdurasi 2.38 minit yang memaparkan Shah Erman berada di dalam longkang untuk membersihkan sampah yang tersumbat turut dikongsikan kepada netizen.

Sumber: Berita Harian

Tags: , , ,

Category: SEMASA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *