Rumah Musnah Akibat Letupan, Pembuat Bunga Api [email protected] | Seorang lelaki dari wilayah Sa Keao di Timur Thailand maut dalam satu kejadian letupan bunga api semalam, lapor The Thaiger.

Ketika kejadian itu berlaku, lelaki tersebut bersama anak lelakinya sedang membuat bunga api bagi sebuah upacara pengebumian. Anak lelakinya juga dilapor mengalami cedera parah dalam kejadian yang sama.

Pegawai dari Balai Polis Mueang Sa Kaeo berkata mereka telah menerima laporan berkenaan kejadian letupan di sebuah rumah di daerah Mueang sekitar jam 12.30 tengah hari.

Polis bergegas ke tempat kejadian bersama pasukan sukarelawan dari Unit Penyelamat Sawang So Kaeo.

Letupan itu telah membunuh Prasert berusia 71 serta-merta. Darah juga dikatakan berlumuran di seluruh rumah kayu satu tingkat yang musnah akibat letupan tersebut.

Polis juga menemui anak lelaki Prasert, Rittiporn yang berusia 40 tahun dalam keadaan badannya dilitupi serbuk letupan. Rittiporn mengalami cedera parah dengan luka di kening kiri, lutut kiri dan buku lali kiri. Dia telah dibawa ke Hospital Somdet Phra Yuppharat Sa Keao bagi mendapatkan rawatan.

Prasert mempunyai pekerjaan membuat ‘Ploo Talai’ sejenis bunga api roket yang digunakan sewaktu upacara pengebumian di Thailand. Bunga api tersebut biasanya dinyalakan semasa pembakaran mayat dan berputar ke atas, mengeluarkan banyak asap. Ianya berbeza dengan bunga api biasa semasa sambutan perayaan.

Siasatan polis setakat ini mendedahkan bahawa Prasert dan anaknya sedang duduk di dalam rumah dan membuat Ploo Talai sewaktu letupan kuat itu berlaku kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Letupan tersebut telah menghancurkan seluruh rumah dan TV serta objek lain turut berselerakan di merata tempat.

Menurut polis, setakat ini pihak mereka masih tidak pasti sama ada pembuatan bunga api yang dijalankan Prasert secara sah atau tidak. Di Thailand, sesiapa yang menghasilkan atau menjual bunga api mesti terlebih dahulu mendapatkan lesen dan mematuhi banyak peraturan yang perlu dituruti.

Peraturan itu digariskan dalam Akta Senjata Api, Peluru, Bahan Letupan, Bunga Api dan Bunga Api Tiruan 1947.

Mayat Prasert akan dibedah siasat di Hospital Sa Kaeo dan akan dikembalikan kepada keluarganya untuk upacara keagamaan.

Pada minggu lalu, seorang terbunuh dan tiga lagi melecur dalam satu kejadian letupan di sebuah kilang bunga api di daerah Mueang di wilayah Suphan Buri di tengah Thailand.

Sumber: Siakap Keli

 

Artikel Lain

Ramai Cedera Kena Bunga Api Ketika Pesta Loy Krathing

Ramai Cedera Kena Bunga Api Ketika Pesta Loy Krathing | The Thaiger melaporkan bahawa Sambutan perayaan pesta Loy Krathong di wilayah Nakhon Phanom Thailand bertukar tragedi selepas 12 orang dilapor tercedera dalam persembahan bunga api haram.

Datuk Bandar di Meung Nakho Phanom mengumumkan bahawa kesemua mangsa hanya mengalami kecederaan ringan.

Kejadian itu dikatakan berlaku sewaktu upacara pembukaan acara Loy Krathong di Taman Phanon Naga berhampiran Sungai Mekong yang dihadiri oleh tetamu kehormat Gabenor wilayah Nakhon Phanom, pegawai-pegawai dan ratusan penduduk sekitar.

Bunga api itu dikatakan akan dinyalakan pada akhir majlis perasmian. Bagaimanapun, bunga api itu tidak berterbangan ke langit malah berterbangan ke arah orang ramai dan menyebabkan 12 orang awam yang berdiri berhampiran kawasan tersebut cedera.

Datuk Bandar Meung Nakhon Phanom, Niwat Jiawiriyaboonya telah mengesahkan kepada media Thai bahawa pejabat daerah itu tidak merancang untuk membuat persembahan bunga api. Pegawai bertugas masih menyiasat siapa yang bertanggungjawab dalam penyediaan bunga api tersebut.

Niwat juga sempat memohon maaf kepada mangsa yang cedera dan menambah bahawa mereka akan menerima rawatan percuma berserta pampasan.

Kerajaan Thailand sebelum ini mengumumkan bahawa mercun dan bunga api diharamkan sewaktu menyambut Pesta Loy Krathong. Denda akan dikenakan bagi mereka yang gagal mematuhi peraturan dan denda juga berbeza mengikut setiap wilayah di Thailand.

Di Bangkok, mereka yang gagal mematuhi peraturan bakal berdepan dengan hukuman penjara selama tiga tahun, denda RM 7,700 atau kedua-duanya sekali.

Sumber: Siakap Keli

Share.

Leave A Reply