Sajat Dakwa Dianiayai JAIS Ketika Sesi Temubual Bersama BBC. | PETALING JAYA: Penyanyi dan usahawan sensasi, Nur Sajat mengakui terpaksa melarikan diri dari Malaysia selepas mendakwa dikasari pegawai Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).
Menerusi satu temu bual bersama media antarabangsa BBC News, Sajat tampil berkongsikan kisahnya diburu pihak berkuasa kerana tindakannya bertudung dan berpakaian wanita.
“Saya dilayan dengan teruk, dipukul serta digari walaupun telah memberi kerjasama. Kesalahan boleh dibincang, bukan dengan menggunakan kekerasan.
“Mungkin mereka melihat saya ini transwoman, mereka rasa tidak kisah. Bila saya menunaikan umrah atau mengadakan majlis kesyukuran, itu adalah untuk menghormati agama saya,” ujarnya kepada BBC.
Kata Sajat lagi, dia juga mempunyai perasaan dan hak untuk menyayangi agama Islam dengan cara tersendiri sebagai seorang muslim dan transgender.
“Sebagai wanita transgender, kami juga mempunyai perasaan dan layak menikmati kehidupan seperti individu normal lain.
“Saya percaya sebaga seorang muslim, saya mempunyai hak untuk menyatakan agama dengan cara tersendiri,” dakwanya.
Dalam pada itu, penyanyi lagu Makhluk Penggoda itu menegaskan tidak akan lagi pulang ke tanah air kerana didakwa ditindas orang ramai serta tidak boleh menjadi diri sendiri di negara Malaysia.
“Saya rasa tidak akan kembali ke Malaysia kerana tiada kedamaian berada di sana. Bila saya berada di sini (Australia), saya lebih bebas untuk sebagai transwoman,” tuturnya lagi.
Terdahulu, Sajat memberitahu dia mempunyai perancangan untuk membuka perniagaan di negara berkenaan dan tidak akan kembali ke tanah air semula.
Sumber: Utusan