Saksi Dedah Keadaan Bella Semasa Jumpa Kali Pertama Di HKL | KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini diberitahu Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menemui remaja Sindrom Down dikenali Bella dalam keadaan kurus dan ketakutan dengan kesan kecederaan pada tangan serta muka.
Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, yang juga pegawai pelindung remaja berusia 13 tahun itu berkata keadaan itu dilihatnya kali terakhir beliau berjumpa Bella di Hospital Kuala Lumpur (HKL), pada 4 Julai 2021.
“Saya melawat Bella di HKL, saya nampak muka Bella berparut dan sedikit kurus berbanding peringkat awal penyerahan remaja itu kepada Siti Bainun (pada 2020).
“Secara fizikal saya juga nampak Bella berambut pendek. Remaja itu juga tidak senyum serta ketakutan, selain semasa berjalan dia tunduk tidak pandang orang lain dan kedua-dua tangannya berbalut,” katanya ketika pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya, Fazeedah Faik di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.
Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini, antara Februari dan Jun 2021.
Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Mengulas perbualan WhatsApp pada 24 Jun 2021, Mohamad Imran yang juga saksi pendakwaan ke-12 berkata, Siti Bainun memberitahunya Bella terkena air panas dua hari sebelum sambutan Aidilfitri tahun sama.
Beliau menganggap kecederaan remaja terbabit amat teruk selepas melihat kesan kecederaan Bella melalui gambar dihantar Siti Bainun.
“Selepas melihat gambar kecederaan Bella, saya suruh Siti Bainun bawanya ke hospital namun diberitahu Bella positif COVID-19. Beliau beritahu tidak membawa Bella buat ujian COVID-19 kerana takut dikatakan membuat keadaan Bella jadi begitu (dera sehingga mengakibatkan kesan lecur di muka dan tangan).
“Saya tetap memintanya membawa Bella ke hospital kerana risau keadaannya ketika itu tetapi Siti Bainun beritahu akan membawanya selepas habis tempoh kuarantin pada 29 Jun,” katanya.
Perbicaraan masih lagi berlangsung.
SUMBER : Berita Harian