Satu Lagi Kes Kematian Baru Akibat Virus Rabies

| September 8, 2020 | 0 Comments

Satu Lagi Kes Kematian Baru Akibat Virus Rabies | Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) ingin memaklumkan satu (1) kes baharu rabies iaitu seorang lelaki dari Jalan Penrissen, Kuching, Sarawak. Beliau telah disahkan dijangkiti virus rabies melalui ujian makmal yang dilakukan oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) pada 4 September 2020.

 

Kes adalah seorang lelaki berumur 51 tahun. Beliau dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak pada 26 Ogos 2020 kerana mengalami sakit belakang menyebabkan kesukaran untuk bergerak selama tiga (3) hari sebelum dimasukkan ke wad. Beliau telah mengalami muntah dan serangan sawan sebelum dimasukkan ke hospital. Kes ini telah meninggal dunia pada 8 September 2020 jam 6.29 petang dengan diagnosa rabies encephalitis. KKM mengucapkan takziah kepada ahli keluarga mendiang.

Siasatan awal belum dapat mengesahkan sebarang sejarah gigitan anjing atau haiwan lain berlaku padanya. Namun, beliau ada memelihara seekor kucing dan seekor anjing. Anjing peliharaannya ini belum mendapat vaksin anti rabies tetapi juga tidak dilepaskan dari kawasan rumah. Sehingga hari ini, status kedua-dua haiwan ini adalah baik dan tiada perubahan tingkahlaku.

Dengan pengesahan kes rabies baharu ini, jumlah kes bagi tahun 2020 adalah tiga (3) dan ketiga-tiga kes telah meninggal dunia. Manakala, jumlah kes bagi keseluruhan wabak rabies di Sarawak yang telah diisytiharkan pada 1 Julai 2017 sehingga kini adalah 25 kes; termasuk 24 kematian.

Jangkitan virus rabies kepada manusia boleh dielakkan. Memandangkan negeri Sarawak belum bebas dari jangkitan rabies, KKM ingin menasihati orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah-langkah pencegahan berikut bagi mengelakkan daripada penyakit rabies:

  • Cuci bahagian tubuh yang digigit anjing atau haiwan lain menggunakan air mengalir dan sabun selama 15 minit bagi menghilangkan kesan air liur;
  • Dapatkan rawatan segera di klinik kesihatan atau hospital terdekat jika digigit tanpa sebab oleh haiwan peliharaan (unprovoked) atau digigit oleh anjing liar;
  • Pastikan anjing peliharaan telah mendapat suntikan anti-rabies di klinik haiwan terdekat. Elakkan ia bercampur dengan anjing atau haiwan liar sebelum dan selepas menerima suntikan vaksin;
  • Tidak mengambil / memungut anjing atau haiwan lain yang tidak diketahui status suntikan vaksin rabies;
  • Sentiasa elakkan diri daripada digigit oleh anjing atau haiwan liar;
  • Jika anjing atau kucing peliharaan berubah tingkahlaku termasuk agresif, dapatkan rawatan segera di klinik haiwan dan laporkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) berhampiran;
  • Laporkan kepada Pihak Berkuasa Tempatan jika terdapat anjing liar yang berkeliaran di kawasan tempat tinggal; dan
  • Sentiasa mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi terutama selepas menyentuh haiwan peliharaan.

Langkah pencegahan dan kawalan jangkitan rabies bermula daripada setiap individu dalam masyarakat. Orang ramai digesa untuk sentiasa mematuhi saranan dan segala arahan pihak berkuasa dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies. Ia bagi memastikan langkah-langkah pencegahan dan kawalan jangkitan virus rabies dapat dilaksanakan secara menyeluruh bagi mencapai Sarawak bebas rabies.

Sumber : SiakapKeli

Tags: , , , ,

Category: KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *