‘Saya Rindui Panggilan Mak’ Ibu Tunggal Cekal Urus Anak Istimewa | Bukan mudah bagi seorang ibu tunggal yang menjaga seorang anak istimewa lebih-lebih lagi dengan ketiadaan suami. Namun, bagi ibu tunggal ini, dia cekal dan tabah dalam menguruskan segala hal yang berkaitan dengan anak bongsunya itu.

'Saya Rindui Panggilan Mak' Ibu Tunggal Cekal Urus Anak Istimewa

Machang: Siti Zubaidah Mohd Ali, 57, menjaga anaknya Nur Athirah Najihah Ibrahim, 19, yang menghidap Cerebral Palsy (CP) atau dikenali juga dengan kelumpuhan otak.

Siti Zubaidah yang merupakan seorang ibu tunggal itu berkata, Nur Athirah merupakan anak bongsu daripada empat beradik yang disahkan menghidap penyakit itu sewaktu umurnya sembilan bulan dan akibat keadaannya yang sebegitu telah menyebabkan dia hanya terlantar dan kaku di atas katil.

Apa yang lebih menyedihkan lagi, Nur Athirah juga tidak boleh bercakap dan hanya berkomunikasi melalui kerdipan mata sahaja. Bagaimanapun, Zubaidah akan memahami kehendak anak istimewanya sekaligus menyebabkan dia memahami perasaan anaknya itu walaupun tidak berkomunikasi secara normal.

Siti Zubaidah berkata, anaknya itu dilahirkan ketika usia kandungan tujuh bulan dengan berat 0.8 kilogram (kg) dan terpaksa ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kanak-kanak (PICU) Hospital Universiti Sains Malaysia (USM) Kubang Kerian selama lebih dua bulan, sebelum anaknya itu dibenarkan pulang ke rumah.

Walau bagaimanapun, ketika Nur Athirah berusia sembilan bulan, Siti Zubaidah sekali lagi diuji apabila anaknya itu demam dan batuk yang berpanjangan sehingga doktor mengesahkan terdapat jangkitan kuman di otak belah kiri.

“Pada awal 2003, anak saya perlu menjalani pembedahan di USM Kubang Kerian bagi membuang sebahagian otak sebelah kirinya yang sudah dijangkiti kuman,” katanya ketika ditemui di rumah sewanya di Kampung Pangkal Changgong, Machang, di sini, semalam.

Terdahulu, keluarga itu telah dikunjungi oleh Kelab Media Kelantan Darul Naim (KEMUDI) dengan kerjasama The Grand Renai Hotel yang turut tampil bagi menyampaikan sumbangan sempena program Kita Kongsi. Dalam masa yang sama, sumbangan tersebut telah disampaikan oleh Presiden KEMUDI, Shahnun Hanif Abdullah Suhaimi dan Pengarah Jualan dan Pemasaran The Grand Renai Hotel, Raja Rusmin Datuk Raja Mahmud.

Siti Zubaidah berkata, tidak beberapa lama selepas pembedahan itu, anaknya dikatakan sering mengalami serangan sawan yang menyebabkan doktor terpaksa melakukan pembedahan buat kali kedua untuk menyelamatkan nyawanya.

Selain itu, jangkitan kuman yang terdapat pada otak sebelah kiri selepas Nur Athirah dilahirkan sejak 19 tahun yang lalu telah menyebabkan dia terlantar dan perlu menguruskannya seperti bayi hingga ke hari ini.

“Sebagai ibu, sudah pasti saya merindui panggilan ‘mak’ keluar daripada mulut Nur Athirah, namun memahami perkara itu adalah sangat mustahil,” katanya yang kematian suami, Ibrahim Abdul Rahman sejak 11 tahun lalu akibat serangan jantung.

Katanya, bagi meneruskan kelangsungan hidup sejak awal tahun ini dia membuka kedai menjual jeruk di hadapan rumah bagi mencari pendapatan tambahan untuk menampung keperluan anak istimewanya selain untuk makan dan minum mereka dua beranak.

“Untuk perbelanjaan Nur Athirah, saya perlu memperuntukkan lebih RM1,000 bagi membeli keperluannya, terutama lampin pakai buang,” katanya yang turut mendapat bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM500 sebulan.

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply