Selepas NADMA Dikritik Gagal Bertindak Isu Banjir, Ini Tindakan PM. | PETALING JAYA: Perdana Menteri, Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) akan mengetuai usaha mendepani bencana banjir berkuat kuasa serta-merta, susulan kritikan terhadap kekurangan respons daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

Selepas NADMA Dikritik Gagal Bertindak Isu Banjir, Ini Tindakan PM.

Katanya, MKN akan mengeluarkan arahan kepada semua pihak berkaitan berhubung tindakan yang perlu diambil segera.

“NADMA akan tetap menjadi sekretariat utama pengurusan bencana dan mengendalikan semua penyelarasan, dan sekiranya sesuatu tindakan itu tidak dipatuhi, maka MKN akan mengeluarkan arahan lanjut,” katanya dalam kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat khas penyelarasan bencana negara.

Pengumuman Ismail itu menyusul kritikan terhadap NADMA. Terdahulu, sebuah badan bukan kerajaan mendesak kerajaan menggugurkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Abdul Latiff Ahmad yang mengetuai NADMA kerana gagal menguruskan banjir besar di lima negeri.

Minggu lalu, Latiff di Dewan Rakyat berkata, NADMA tidak terlibat secara langsung dalam urusan bencana alam seperti banjir di peringkat negeri, sebaliknya ia hanya menjaga urusan pemberian pampasan kepada mangsa selepas mendapat maklumat dan senarai daripada negeri.

Sementara itu, Ismail berkata, syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bersetuju menyumbang RM50.8 juta bagi membantu usaha menangani dan pemulihan pasca banjir.

Katanya, sumbangan itu meningkat lebih 100% berbanding RM25 juta yang diumumkan pada Ahad.

“GLIC dan GLC yang menyumbang ini termasuklah Petronas; Yayasan Petronas; Khazanah Nasional dan Yayasan Hasanah; Yayasan Sime Darby; CIMB; Celcom; Telekom Malaysia; Yayasan UEM; dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).”

Bagi membantu usahawan terjejas akibat banjir, katanya, mesyuarat itu juga memutuskan pembiayaan kewangan tanpa faedah diberikan sehingga RM5,000 melalui Bank Simpanan Nasional (BSN), dengan tempoh bayaran bermula hanya selepas enam bulan perjanjian pembiayaan ditandatangani.

Beliai berkata, kerajaan turut bersetuju memberi pengecualian sewa dua bulan kepada penyewa Kompleks Premis Usahawan milik SME Bank yang terjejas akibat banjir, manakala koperasi terjejas akan dibantu melalui Bantuan Kecemasan Koperasi Suruhanjaya Koperasi Malaysia sehingga RM30,000.

Katanya, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk aktiviti pemulihan pasca banjir bagi membaik pulih rumah dan infrastruktur rosak, manakala Bantuan Wang Ihsan sebanyak RM1,000 diberikan kepada setiap ketua isi rumah terjejas akibat banjir, sama ada berpindah ke pusat pemindahan sementara atau tidak.

Sumber:  FMT

Share.

Leave A Reply