Mayat wanita warga Rusia yang dipercayai terjun dari Jambatan Pulau Pinang ditemukan berhampiran sangkar ikan di perairan Pulau Jerejak, di sini semalam.
Mayat mangsa berusia 34 tahun itu ditemukan tersangkut di sangkar ikan berkenaan kira-kira jam 1.42 petang .
Pengarah Agensi Penguatkuasaan MaritimNegeri (APMM) Pulau Pinang, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan daripada pemilik sangkar ikan terbabit.
Katanya, bot ronda Kilat 26 kemudian diatur gerak ke lokasi sebaik menerima laporan.
“Pemeriksaan awal mendapati mangsa adalah wanita warga Russia berusia 34 tahun yang disyaki terjun dari jambatan berkenaan kira-kira jam 2.35 pagi semalam.
“Mayat mangsa dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin (PPM) Batu Uban sebelum diserah kepada polis bagi tindakan lanjut,” katanya menerusi kenyataan di sini, semalam.
Mengulas lanjut Abd Razak berkata, mayat mangsa dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi tujuan bedah siasat dan operasi pencarian tamat pada jam 3 petang.
Terdahulu dalam kejadian itu, Abd Razak berkata Sub-Pusat Menyelamat Maritim (MRSC) Langkawi mengaktifkan operasi carilamat pada jam 6.55 pagi sejurus menerima maklumat.
“Wanita berkenaan dipercayai terjun dari jambatan berkenaan di kilometer 5.4 arah Georgetown menghala ke Prai dengan meninggalkan beg serta dokumen pengenalan diri.
“Operasi berkenaan turut membabitkan PPM, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang dan Angkatan Pertahanan Awam (APM),” katanya lagi.
Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau kecemasan di laut boleh segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999.
Sumber : Harian Metro