Setakat bulan September, seramai 90 orang rakyat Malaysia yang terkandas di luar negara akibat sindiket penipuan pekerjaan dan pemerdagangan manusia, sedang dalam proses dibawa pulang, Dewan Rakyat diberitahu hari ini.
Menteri Luar Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, seramai 171 orang telah selamat dibawa pulang, manakala baki 88 orang lagi masih sedang dikesan.
Ahli Parlimen Indera Mahkota itu berkata, Perwakilan-perwakilan Malaysia di empat negara yang terlibat, iaitu Kemboja, Myanmar, Laos, dan Thailand, akan terus bekerjasama dengan kerajaan negara tersebut bagi tujuan pengesanan dan penyelamatan mangsa yang masih di bawah kawalan sindiket itu.
Katanya lagi, tindakan yang diambil Perwakilan Malaysia termasuklah mendapatkan bantuan dan kerjasama pihak kerajaan negara terbabit, mengadakan pertemuan dengan pihak berkuasa yang terlibat bagi mengesan dan menyelamat, serta memberikan bantuan konsular sewajarnya bagi membolehkan mereka pulang dengan selamat.
Saifuddin berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh (Bersatu-Sabak Bernam) yang mahu tahu langkah kerajaan bagi membantu warga Malaysia yang telah ditipu dan diculik oleh sendikit penipuan pekerjaan terutamanya di rantau Asia Tenggara.
Selain itu, Mohd Fasiah bertanya mengenai tindakan pencegahan yang diambil kementerian dan Kedutaan-Kedutaan Malaysia bagi membanteras kegiatan penipuan pekerjaan tersebut.