SMK Bandar Bintulu Diarah Ditutup, Seorang Pelajar Positif Covid-19

| October 11, 2020 | 0 Comments

SMK Bandar Bintulu Diarah Ditutup, Seorang Pelajar Positif Covid-19 | Bintulu: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bintulu, di sini, diarah tutup sejak semalam berikutan seorang pelajar tingkatan lima disahkan positif Covid-19.

Difahamkan pelajar berkenaan adalah anak kepada kes Kluster Taman Putrajaya yang dikesan di daerah Bintulu.

Pihak pengurusan sekolah terbabit mengesahkan menerima surat daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sarawak (JPNS) hari ini supaya penutupan dilakukan dari 10 hingga 16 Oktober ini.

Ia bagi membolehkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menjalankan kerja disinfeksi, pembersihan dan pengesanan kepada konteks rapat Kluster Taman Putrajaya yang dijangka dijalankan esok.

Kluster Taman Putrajaya dikesan selepas pengesanan kontak rapat secara aktif dijalankan terhadap kes yang disahkan positif Covid-19.

Kes indeks kepada kluster ini ialah kes ke-733 yang disahkan positif Covid-19 pada 8 Oktober lalu selepas membuat saringan di Hospital Bintulu kerana mengalami tanda dan gejala Covid- 19 sejak 1 Oktober.

Indek kes juga mempunyai sejarah perjalanan ke Perak dan Kuala Lumpur pada 24 hingga 27 September yang lalu yang mana pengesanan kontak secara aktif dijalankan.

Sekretariat Jabatan Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, setakat jam 12 tengah hari semalam seramai 56 kontak disaring.

“Daripada jumlah itu, empat kontak rapat didapati positif Covid-19, dua disahkan negatif pada saringan pertama manakala 50 lagi masih menunggu keputusan ujian saringan Covid-19.

“Ini menjadikan jumlah kes Kluster Taman Putrajaya seramai lima orang termasuk kes indeks,” katanya.

Sumber : HMetro

Tags: , , ,

Category: KESIHATAN

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *