Suntikan Vaksin Covid-19, Kerajaan Timbang Wajibkan Secara Mandatori | Peningkatan kes Covid-19 harian semakin membimbangkan, Kerajaan timbang wajibkan suntikan vaksin secara mandatori. Baca selanjutnya..
Kuala Terengganu – Kerajaan sedang menimbang untuk mewajibkan suntikan vaksin Covid-19 secara mandatori kepada seluruh rakyat Malaysia bagi mencapai sasaran imuniti kelompok menjelang bulan Oktober ini.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, perkara itu akan diputuskan kerajaan selewat-lewatnya bulan depan sebaik kajian ke atas golongan yang menolak vaksin atau anti vaksin selesai sepenuhnya.
Menurut beliau, sekiranya dilaksanakan kelak, individu yang enggan menerima suntikan dos vaksin Covid-19 boleh dikenakan hukuman mengikut undang-undang sedia ada.
“Kita akan mengkaji terlebih dahulu jika kumpulan anti-vaksin ini tidak mahu menerima vaksin kerana berpenyakit atau sengaja tidak percaya dengan vaksin.
“Dengan pelbagai varian seperti Delta, penerima vaksin juga boleh dijangkiti disebabkan mereka (anti-vaksin) yang kemudian memberi masalah kepada negara,” katanya pada sidang akhbar di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Integrasi Taman Tamadun Islam (TTI), di sini hari ini.
Sehubungan itu, Muhyiddin berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan secara serius untuk menjadikan vaksin Covid-19 sebagai mandatori bagi memastikan imuniti berkelompok boleh dicapai.
Sumber : Kosmo