Jiran mangsa kejadian bunuh melibatkan seorang ibu dan bayi lelakinya yang berusia dua bulan trauma selepas melihat mangsa diheret suspek dalam keadaan berlumuran darah.
Mohd. Noor Haikal Ahmad Zaini, 14, memberitahu, ketika kejadian itu, dia sedang menunggu abangnya berhampiran lokasi kejadian untuk pergi ke sekolah.
Katanya, ketika sedang menunggu, dia ternampak suspek sedang mengheret wanita keluar daripada rumah kediaman mereka.
Pada mulanya, dia terdengar suara jeritan seorang lelaki daripada rumah tersebut, dua kali suspek menjerit namun dia tidak dengar apa yang dijeritkan itu.
Kemudian, dia melihat suspek mengheret mangsa yang kelihatan sudah tidak bergerak, tetapi dia tidak tahu sama ada mangsa masih bernyawa atau tidak.
Suspek masuk kembali ke dalam rumah dan keluar bersama bayi yang sedang menangis teresak-esak ketika itu.
Mohd. Noor Haikal menceritakan momen kejadian tersebut ketika ditemui pemberita, di sini hari ini.
Tambahnya lagi, dia bagaimanapun tidak melihat suspek membunuh bayi tersebut.
Hal ini kerana abangnya terus menggerakkan motosikal meninggalkan tempat kejadian kerana takut apa-apa berlaku.
Dalam pada itu, Ahmad Zaini Ismail, 39, pula memberitahu, dia mendengar suspek menjerit ‘kau apa hal’ dipercayai kepada mangsa wanita sebelum mengetahui kejadian yang berlaku melibatkan jirannya itu.
Ahmad Zaini yang bekerja sebagai seorang mekanik turut berkongsi momen kejadian.
Katanya, semalam, dia baharu sahaja membaiki kereta milik suspek sebelum turut meluangkan masa berbual dengan suspek pada petang hari.
Suspek juga kelihatan mendukung bayi lelaki yang baharu lahir seperti individu normal lain malah, tidak nampak sebarang tanda atau perkara yang pelik pada suspek.
Sementara itu, seorang lagi jiran mereka, Rosmawati Ramli, 36, memberitahu, suspek berkelakuan sedikit pelik.
Suspek membelanja pelanggan yang bersarapan di gerai makan milik Rosmawti, awal pagi semalam.
Katanya, suspek memang kerap bersarapan di gerai ini, namun dia tidak pernah belanja sesiapa.
Namun, semalam ketika hendak membayar makanannya, suspek memberitahu Rosmawati untuk kira semuanya.
Buat pertama kalinya, suspek membelanjakan lebih RM20 untuk membayarkan makanan pelanggan lain.
Rosmawati hanya mengusahakan gerai makanan di depan rumahnya.
Sumber: Kosmo