Suspek Kes Bunuh Positif Covid-19, 60 Anggota Polis Disaring | Seorang lelaki warga Myanmar yang ditahan di lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Segamat bersabit kes bunuh disahkan positif COVID-19 hasil saringan semalam.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata susulan itu, seramai 60 pegawai dan anggota polis IPD Segamat diarah menjalani saringan dan kuarantin di rumah sementara menunggu keputusan petang ini.

“Memang ada seorang suspek warga Myanmar berusia 29 tahun ditangkap, dan positif COVID-19. Seramai 60 pegawai dan anggota IPD Segamat sudah disaring, sedang tunggu keputusan petang ini.

“Kalau positif, mereka akan diarahkan menjalani kuarantin di pusat kuarantin.

“Setakat hari ini, mereka (pegawai dan anggota polis) masih kuarantin di rumah,” katanya pada sidang media melawat sekatan jalan raya (SJR) Plaza Tol Skudai, di sini, hari ini.

Ayob Khan berkata, lokap yang menempatkan tahanan di IPD Segamat dilakukan disinfeksi dan beroperasi seperti biasa.

“Kita memang ada prosedur operasi standard (SOP) khusus, apabila kita tangkap PATI dan sebagainya, ada (melakukan proses disinfeksi).

“Suspek positif (COVID-19) masih dalam lokap, diasingkan. IPD Segamat masih beroperasi. Sudah susun atur balik kekuatan (anggota dan pegawai).

“Kalau tidak cukup, kita akan minta bantuan daripada daerah berdekatan atau Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor untuk bantu mereka,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan, seorang lelaki warga Bangladesh berusia 44 tahun maut digilis tiga kali dengan kereta Proton Gen2 dipandu suspek warga Indonesia dipercayai berpunca daripada pergaduhan, Selasa lalu.

Susulan kejadian itu, polis menahan tujuh lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga Myanmar berusia antara 29 hingga 35 tahun.

Sumber : BH 

Share.

Leave A Reply