Suspek Letupan Bom Istanbul Berjaya Ditangkap | Akhbar The Sun semalam melaporkan bahawa suspek insiden pengeboman di Istanbul, Turkiye, mengaku meletupkan bom dalam serangan itu yang mengorbankan enam nyawa.
Sebuah video menunjukkan detik wanita berkenaan, Ahlam Albashir diberkas dan digari selepas polis menyerbu pangsapurinya. Dia dilihat meniarap di atas lantai ketika anggota polis mengacukan pistol ke arahnya.
Beberapa rakaman sistem televisyen litar tertutup (CCTV) menunjukkan suspek melarikan diri dari tempat kejadian sambil memegang sekuntum bunga mawar berwarna merah beberapa saat sebelum bom meletup.
Polis Turkiye kini menamakan warga Syria itu sebagai suspek, yang didakwa telah dilatih menjadi pegawai risikan oleh Parti Pekerja Kurdistan (PKK).
Suleyman Soylu, Menteri Dalam Negeri Turkiye menyatakan bahawa seorang suspek kini dalam tahanan serta menyalahkan kumpulan militan Kurdish sebagai dalang serangan terbabit.
Polis berkata, ia telah menahan 47 suspek termasuk individu yang meletupkan bom tersebut.
Soylu juga berkata, suspek yang meletupkan bom telah ditahan oleh Direktorat Awam Keselamatan mereka.
Dalam kejadian Ahad petang lalu, rakaman CCTV menunjukkan seorang wanita duduk di atas sebuah bangku selama 45 minit dan meninggalkan sebuah beg sejurus sebelum letupan berlaku.
Enam orang maut manakala sekurang-kurangnya 81 yang lain cedera dalam letupan tersebut yang berlaku di kawasan beli-belah yang menjadi tumpuan pelancong di Istanbul, Istiklal Avenue.
Sumber: Kosmo
Article Lain
Ini Angka Korban Dalam Tragedi Letupan Bom Istanbul
Ini Angka Korban Dalam Tragedi Letupan Bom Istanbul | Letupan kuat menggegarkan lokasi beli-belah popular di kota Istanbul semalam, membunuh enam orang serta mencederakan berpuluh-puluh mangsa lain dalam kejadian yang disifatkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan sebagai serangan pengganas.
Polis mengepung kawasan sekitar Istiklal yang dipenuhi orang ramai petang semalam (waktu tempatan). Beberapa buah helikopter berlegar-legar di seluruh pusat bandar Istanbul, manakala siren amaran dibunyikan.
Seorang saksi yang bernama Cemal Denizci, berumur 57 tahun menyatakan bahawa Cemal berada antara 50 hingga 55 meter (dari lokasi letupan) dan kemudian terdengar bunyi letupan kuat. Cemal dapat melihat tiga atau empat orang terbaring di atas tanah.
Presiden Recep Tayyip Erdogan menyelar kejadian tersebut dan menggelarnya sebagai ‘serangan keji’.
Dalam satu sidang akhbar, beliau menyatakan bahawa, beliau mungkin salah jika mengatakan ini semestinya serangan pengganas namun, berdasarkan petanda-petanda awal, terdapat unsur keganasan.
Sementara itu, Fuat Oktay, Naib Presiden Turkiye berkata bahawa seorang wanita dilihat duduk di atas sebuah bangku selama lebih 40 minit sebelum dia bangun.
Satu atau dua minit kemudian, letupan berlaku.
Oktay juga berujar bahawa terdapat dua kebarangkalian. Sama ada bahan letupan diletakkan di dalam beg dan ia meletup, atau seseorang meletupkannya dari jauh. Semua data mengenai wanita berkenaan sedang disiasat.
Sumber: Kosmo
Afganistan: Tujuh Individu Terlibat Dalam Letupan Periuk Api
Satu letupan di ibu negara Afghanistan hari ini, sebuah bas yang membawa kakitangan pentadbiran Taliban menyebabkan tujuh individu cedera.
Jurucakap polis Kabul, Khalid Zadran, berkata letupan itu berpunca daripada periuk api yang dipasang di bahu jalan, namun setakat ini belum dapat dipastikan pihak yang menjadi dalang letupan berkenaan.
Beliau berkata, akibat letupan yang mengenai sebuah bas mini daripada Kementerian Rehabilitasi dan Pembangunan Luar Bandar, tujuh individu cedera.
Sejak beberapa bulan lalu, beberapa insiden serangan berlaku di kawasan bandar.
Bulan lalu, satu serangan oleh individu bersenjata menyasarkan sebuah kenderaan di barat Afghanistan, yang didakwa didalangi DAESH.
Serangan itu meragut nyawa lima anggota perubatan yang bertugas dengan pasukan keselamatan Taliban.
Meskipun pertempuran berskala besar sudah berakhir sejak tentera asing menarik diri dari negara itu setahun lalu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memaklumkan situasi keselamatan di Afghanistan kini semakin buruk.
Sumber : Berita Harian