Tak Jawab Panggilan Telefon, Isteri Ditemui Mati Dalam Rumah | SITIAWAN: Kebimbangan seorang lelaki akan keadaan isterinya apabila panggilan telefon beliau tidak dijawab, berakhir dengan duka apabila wanita warga emas itu ditemukan meninggal dunia di Kampung Koh, di sini, hari ini.
Difahamkan, wanita berusia 68 tahun itu tinggal berasingan dengan suami, kerana mangsa menjaga ibunya berusia 80-an yang uzur dan terlantar.
Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sitiawan, Firdaus Mohd Ziker, berkata terdahulu suami mangsa yang bimbang dikatakan segera ke rumah mentuanya untuk mengetahui keadaan isteri.
Bagaimanapun, katanya, mangsa tidak menyahut apabila dipanggil, manakala pintu rumah juga berkunci dari dalam sebelum lelaki itu terus menghubungi pihak bomba untuk mendapatkan bantuan lanjut.
Beliau berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.16 pagi lalu sepasukan anggota bersama jentera digerakkan ke lokasi.
“Bomba mengumpil pintu rumah terbabit dengan menggunakan peralatan khas selepas mendapat kebenaran daripada pihak polis.
“Mangsa ditemukan terbaring di hadapan pintu bilik air. Pasukan perubatan yang hadir ke lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
“Ketika kejadian, ibunya terbaring di katil di ruang hadapan rumah. Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, suami mangsa memaklumkan wanita itu ada mengadu sakit dada, semalam.
“Lelaki itu dikatakan sudah menyuruh isteri pergi ke hospital, namun mangsa memberitahu keadaannya sudah baik,” katanya.
Sumber: Berita Harian