Tak Sempat Tarawih Masjid Kampung Bongek Chengkau Terbakar

| April 11, 2021 | 0 Comments

Tak Sempat Tarawih Masjid Kampung Bongek Chengkau Terbakar | Dalam kegembiraan untuk menyambut bulan Ramadan bagi penduduk Kampung Bongek Chengkau bertukar hiba apabila penduduk di situ tidak sempat untuk tarawih ekoran Masjid Jamek di kampung itu musnah hampir 70 peratus dalam kejadian kebakaran, pagi tadi.

Tak Sempat Tarawih Masjid Kampung Bongek Chengkau Terbakar

Pengerusi masjid itu, Harun Abdul Rahman, 65, berkata ketika kejadian berlaku beliau bersama beberapa ahli kariah masjid yang lain sedang mengikuti kursus tajwid di Dewan Orang Ramai Chengkau.

Mereka jelas terkejut apabila dikhabarkan maklumat mengenai masjid terbakar dan terus bergegas ke tempat kejadian.

Persiapan untuk penduduk Kampung Bongek Chengkau menyambut bulan Ramadan yang dibuat sejak beberapa hari lalu musnah. Dikhabarkan baru semalam mereka bertungkus lumus mengadakan aktiviti gotong-royong membersihkan kawasan dan membuat pelbagai persiapan untuk menyambut awal Ramadan.

“Jemaah tarawih sekitar 150 orang terpaksa menunaikan solat di tiga surau di dalam kawasan kampung berhampiran,” katanya.

Sementara itu, penduduk setempat yang juga ahli jawatankuasa UMNO Bahagian Rembau, Latif Alias, 58, berkata, kejadian itu sudah dimaklumkan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Kota, Datuk Dr Awaluddin Said, yang kini berada di luar kawasan.

Beliau berkata, Masjid Kampung Bongek Chengkau ini berusia lebih 70 tahun yang menjadikan masjid ini sebagai pusat komuniti utama di kampung berkenaan.

Jelasnya, kejadian  yang menimpa mereka ini memberi sedikit kesukaran bagi ahli kariah untuk menunaikan solat sunat tarawih pada Ramadan kali ini.

“Walaupun terdapat beberapa surau dan madrasah di kawasan berhampiran, dengan prosedur operasi standard (SOP) dan penjarakan fizikal ditetapkan sudah pasti akan menimbulkan sedikit kesukaran buat jemaah,” katanya.

Dalam pada itu, Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Rembau, Amer Izham Mokhtar berkata, pihak mereka menerima panggilan pada jam 10.19 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian bersama lima anggota dan jentera.

Katanya, kebakaran tersebut membabitkan ruang mimbar, ruang solat bagi jemaah lelaki dan perempuan, bilik imam dan tempat rak buku agama, bilik pembesar suara serta bilik mesyuarat.

“Selain itu, kawasan siling dan struktur dinding bahagian dalam masjid juga rosak manakala sistem pendawaian musnah sebanyak 50 peratus,” katanya.

Sumber : Berita Harian 

Tags: ,

Category: AGAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *