Takut Divaksin, Warga Emas Lari Bersembunyi Di Kubur | Sebuah video yang tular di media sosial memaparkan senario seorang lelaki warga emas takut untuk menerima suntikan vaksin Covid-19 sehinggakan dia sanggup melarikan diri ke tanah kubur, lapor laman berita Suara.com.
Video yang dimuat naik dalam akaun Instagram bernama @infobekasi.coo itu menunjukkan dua lelaki dengan seorang daripada mereka pegawai polis, sedang berjalan menuju ke sebuah tanah perkuburan.
“Ini sekali lagi mengejar orang yang lari kerana takut divaksin, bersembunyi di tanah kubur,’’ jelas lelaki yang merakam video berkenaan.
Pegawai polis tersebut kemudian cuba memujuk lelaki berkenaan untuk mengambil suntikan vaksin.
Walaupun lama bersembunyi, akhirnya lelaki itu sanggup berbuat demikian setelah dipujuk oleh pegawai polis berkenaan.
Video itu mendapat perhatian netizen di ruangan komen.
“Kalau tidak mahu divaksin, jangan dipaksa,’’ tulis seorang netizen.
“Sampai begitu sekali cari orang tua yang takut divaksin,’’ komen seorang netizen.
Sumber : Kosmo