Tauke Kedai Kopi Terkenal Halang Anggota Penguatkuasa Periksa Kebersihan | KEMAMAN – Seorang pengusaha minuman kopi terkenal daerah ini bersama dua pekerja ditahan bagi membantu siasatan dakwaan menghalang anggota penguatkuasaan melakukan pemeriksaan kebersihan di premis mereka semalam.
Mereka yang berusia dalam lingkungan 30 hingga 60 tahun ditahan pada 10 malam kira-kira lima jam selepas kekecohan itu berakhir.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superitendan Hanyan Ramlan berkata, sebelum itu, sekumpulan anggota penguat kuasa Jabatan Kesihatan Daerah Kemaman dan Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) telah menyerbu premis pemprosesan minuman kopi itu di Chukai di sini pada pukul 5 petang.
Berlaku kekecohan antara pekerja dan penguatkuasa
“Serbuan tersebut dilakukan selepas kedua-dua agensi penguat kuasa mendapat aduan awam tentang tahap kebersihan premis tersebut. Begitupun kekecohan didakwa berlaku selepas pemilik premis dan dua pekerja dikatakan enggan memberi kerjasama,” katanya kepada Kosmo! di sini hari ini.
Hanyan berkata, ketiga-tiga individu yang ditahan itu dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan penguatkuasaan terbabit dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 akta sama.
Sumber: Kosmo
ARTIKEL LAIN YANG BOLEH DIBACA
Jumpa ‘Lipas’ Dalam Minuman, Netizen Pertikai Kebersihan Restoran Popular Ini | PETALING JAYA – Tular beberapa gambar sejak semalam di laman sosial memaparkan kejadian seorang pelanggan terminum segelas air mengandungi lipas di sebuah restoran di ibu negara semalam.
Perkara tersebut dikongsikan oleh seorang pengguna laman sosial dikenali sebagai az.
Menurutnya, biarpun air tersebut telah diganti baru, namun dia tetap tidak berpuas hati di atas faktor kebersihan.
“Sebenarnya, tak ada niat nak tutup periuk nasi orang, cuma mahu mereka ambil berat soal kebersihan,” katanya.
Difahamkan, kejadian tersebut berlaku di sebuah restoran di Kampung Baru, Kuala Lumpur.
Lebih mengejutkan, restoran sama itu turut didedahkan terpalit dengan beberapa insiden lain melibatkan kebersihan sejak awal tahun ini.
Susulan perkongsian tersebut, orang ramai rata-rata meluahkan kekecewaan serta mempersoalkan bagaimana restoran terbabit masih dibenarkan beroperasi.
“Kenapa masih ada yang pergi ke kedai ni walaupun selepas kontroversi? Malah kenapa kedai ni masih boleh terus beroperasi?” Kata Rhea.
“Tak tahu kenapa masih ramai orang nak makan sini lagi. Dah bertahun aku berhenti makan kerana tak sedap dan mahal,” ujar Lynda.
SUMBER : Kosmo!
Tular Punggah Roti Benggali Tanpa Bungkusan, Netizen Pertikai Tahap Kebersihan | George Town – Tindakan dua lelaki memindahkan roti benggali daripada sebuah lori ke dalam sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) menimbulkan rasa kurang senang orang ramai selepas video yang memaparkan tindakan itu tular di media sosial hari ini.
Difahamkan kejadian itu berlaku di negeri ini berdasarkan nombor pendaftaran lori tersebut dan loghat Utara yang digunakan oleh seorang wanita yang membuat rakaman.
Bagaimanapun, lokasi sebenar dan waktu kejadian itu tidak dapat dipastikan.
Menerusi video berdurasi kira-kira 52 saat itu, wanita terbabit membuat ulasan bahawa kedua-dua mereka sedang memindahkan roti tanpa bungkusan dan sebarang pelapik.
Sementara itu, rakaman tersebut memaparkan lelaki yang berbaju putih dan biru itu memunggah roti daripada bakul di atas lori ke dalam MPV melalui but dan pintu sebelah kanan penumpang.
Roti-roti berkenaan dilihat disusun seperti kotak pada ruang but MPV berwarna putih dalam keadaan tergesa-gesa.
Bagaimanapun tidak dapat dipastikan sama ada kedua-dua lelaki itu adalah pekerja syarikat pembuatan roti atau pembelinya.
Setakat ini, Kosmo! belum menerima pengesahan daripada pihak berkuasa berhubung kejadian itu.
Sumber : Kosmo