Teman lelaki kepada wanita yang menghina agama Islam dituduh di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan memuat naik hantaran yang jelik dengan niat menyakitkan hati di media sosial.
Tertuduh V Alexander Navin, 38 mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan yang dibacakan berasingan di hadapan Hakim Azrul Darus.
Berdasarkan pertuduhan pertama, tertuduh pada 5 Jun lalu memuat naik hantaran yang menyakitkan hati di akaun Twitter ‘greenleafyconnoiseur’ di pautan Instagram membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain.
Kesalahan itu dilakukan di Perdana View Condominium, Jalan PJU 8/1, Damansara Perdana, Petaling Jaya.
Dia didakwa mengikut Seksyen 233 (1) (a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Pertuduhan itu memperuntukkan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu dituduh membuat dan memulakan penghantaran dengan menggunakan perkhidmatan komunikasi yang jelik sifatnya di aplikasi YouTube pada 16 Jun lalu di tempat yang sama.
Dia turut didakwa melakukan kesalahan mengikut seksyen yang sama.
Terdahulu sebelum pertuduhan dimulakan, peguam yang mewakili tertuduh Ramesh NP Chandran, membuat permohonan maaf kepada mahkamah selepas hadir lambat kerana terpaksa menyelesaikan kes berkait di mahkamah berbeza.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Firdaus Mohamed Idris tidak menawarkan sebarang jaminan.
Beliau turut memohon mahkamah menetapkan syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport serta perlu melapor diri di balai polis.
Selain itu, tertuduh tidak dibenarkan memuat naik sebarang kenyataan di media sosial berhubung kes ini.
Bagaimanapun, Ramesh membantah dan memohon mahkamah mengenakan jaminan yang rendah dengan alasan semua kesalahan yang dilakukan tertuduh adalah kesalahan yang boleh dijamin.
Hakim kemudian memutuskan mengenakan jaminan sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan.
Mahkamah menetapkan 1 September ini sebagai tarikh sebutan semula kes.
Sumber: Harian Metro