Tertekan Kerana Tiada Kerja Semasa PKP Punca Lelaki Kurung Isteri, Dua Anak Dalam Rumah | Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dijalankan oleh pihak kerajaan bagi mengurangkan kes Covid-19 sedikit sebanyak memberikan impak dari segi ekonomi sesebuah keluarga. Hal ini kerana terdapat sesetengah dari masyarakat yang dibuang kerja dan menyebabkan berlaku tekanan sehingga dapat membahayakan orang lain.
Seremban: Sepasukan anggota bomba terpaksa bertindak memotong kunci dan mengumpil pintu sebuah rumah bagi menyelamatkan seorang wanita bersama dua anaknya yang terkurung di dalam rumah oleh suaminya yang dipercayai mengalami tekanan perasaan.
Pegawai Operasi Balai Bomba Senawang, Zainurin Sarip berkata, pihaknya menerima panggilan aduan pada pukul 8.51 malam semalam dan tiba di lokasi kejadian iaitu di Taman Nusa Intan dekat sini, sembilan minit kemudian.
Menurutnya, pihak bomba mendapat laporan seorang lelaki bertindak mengunci pagar grill dan pintu belakang rumahnya dari dalam setelah tertekan kerana tidak mempunyai pekerjaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pada awalnya, pihaknya cuba untuk memujuk lelaki terbabit tetapi selepas lebih kurang 15 minit dan melihat dia masih tidak mahu beralah, pihak bomba mula mengumpil pintu pagar dan grill rumah berkenaan.
Pihak bomba terpaksa memotong kunci mangga pintu rumah berkenaan disebabkan lelaki itu mendakwa tidak tahu di mana dia meletakkan kunci tersebut.
Katanya, pihak bomba dimaklumkan bahawa wanita terbabit ada mengadu pada jirannya tentang kejadian tersebut sebelum suaminya mengalami tekanan yang lebih teruk sehingga abang kandung lelaki tersebut terpaksa datang dari Mambau dekat sini untuk memujuknya.
Pihak bomba berjaya menyelamatkan wanita itu dan anak-anaknya yang berusia kira-kira empat bulan dan lebih setahun sebelum menghantar mereka ke rumah jiran yang terdekat. Pihaknya juga dimaklumkan bahawa kesemua mereka tidak makan sejak daripada pagi.
Tambahnya, tiada sebarang kecederaan yang berlaku ketika kejadian dan lelaki terbabit kemudiannya diserahkan kepada pihak polis.
Sumber: Kosmo