Tiga Pekerja Kilang Getah Positif Covid-19 | Tiga pekerja di sebuah kilang getah di Baling termasuk seorang pekerja tempatan yang dikenal pasti positif Covid-19 melalui ujian awal RTK Antigen yang dilakukan majikan mereka pada Jumaat.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Shamsudin Mamat berkata, susulan itu polis menasihatkan pihak pengurusan kilang menghentikan operasi buat sementara waktu dan satu perbincangan akan dilakukan antara Majlis Daerah Baling dan Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Baling mengenai status penutupan kilang berkenaan.
Beliau berkata, pihak polis telah melakukan tinjauan di kediaman pekerja warga asing dan juga memberi amaran supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dengan tidak keluar rumah bagi mereka yang berstatus kontak rapat.
Menurutnya, PKD juga telah menjalankan siasatan berhubung perkara ini dan ujian PCR telah dilaksanakan ke atas ketiga-tiga pekerja terbabit bagi menentukan kesahihan jangkitan.
Beliau memberitahu, pengurusan kilang juga telah mengambil inisiatif dengan menempatkan ketiga- tiga pekerja ini di rumah berasingan dari pekerja lain sementara menunggu pengesahan ujian Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Pada 18 Jun yang lalu pihak majikan telah melakukan ujian swab test kepada 16 pekerjanya yang dikesan sebagai kontak rapat kepada seorang pekerja warga Bangladesh yang dikesan positif Covid-19 melalui ujian RTK Antigen.
Katanya, ujian berkenaan melibatkan tiga buah rumah penempatan dan keputusannya mendapati dua pekerja positif Covid-19 iaitu satu pekerja tempatan dan seorang pekerja warga asing.
Keesokannya, majikan berkenaan telah mengambil tindakan segera dengan mengadakan ujian ‘swab’ terhadap kira-kira 200 orang pekerjanya di sebuah klinik swasta di Kuala Ketil.
Tambahnya, kilang ini telah beroperasi kira-kira 24 tahun dan ini kali pertama pekerja kilang tersebut disahkan bergejala Covid-19.
Syarikat ini beroperasi di sektor pembuatan produk getah dengan 265 pekerja iaitu 171 pekerja tempatan dan selebihnya warga asing.
Sumber: Sinar Harian