Sudah menjadi seakan kebiasaan di mana orang ramai juga meluahkan rasa kecewa terhadap kualiti dan kuantiti makanan yang ditawarkan di Bazar Ramadan di mana tidak sepadan dengan harga yang dijual. Makanan yang basi, rosak atau terlalu mahal antara yang menjadi itu.

Berdasarkan perkongsian Facebook Sri Rezeki Handayani di Facebook Group Bandar Baru Bangi Community (BBBC), beliau yang menjual getuk ubi kayu memaklumkan sedia memulangkan wang pelanggan semula selepas mendapati makanan yang disediakan dan dijual telah masam berikutan penggunaan kelapa parut yang sudah lama.

Beliau difahamkan mulai menyedarinya selepas mencuba makanan tersebut sewaktu berbuka. Tidak mahu makan wang yang tidak berkah serta berasa takut, beliau memilih untuk menghebahkan perkara tersebut menerusi Facebook.

Sikap yang jarang ditemui oleh peniaga makanan di bazar Ramadan ini sekaligus telah mendapat perhatian ramai di mana rata-rata netizen memuji tindakan yang dilakukan.

Tidak kurang juga yang bertanyakan lokasi beliau berniaga untuk kepastian. Malah, terdapat netizen yang memaklumkan sedia menghalalkan wang tersebut.

Didoakan semoga wanita ini murah rezeki serta berpeluang menawarkan makanan jualannya yang bersih dan enak kepada para pelanggan sekaligus menjadi contoh kepada penjual-penjual lain di bazar Ramadan.

Sumber: The Vocket

Baca Juga: JKM Tegur Pembekal Beri Makanan Basi Pada Mangsa Banjir

Kuala Lumpur: Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah memberikan teguran keras kepada pembekal-pembekal dilantik susulan aduan makanan berbungkus yang dihantar ke pusat pemindahan sementara (PPS) basi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, mereka juga digesa bagi memperbaiki perkhidmatan dan meningkatkan kualiti menu makanan yang disediakan mengikut kadar berpadanan dengan harga dibayar.

“Setelah menerima aduan mengenai kualiti makanan di PPS ini, saya sudah arahkan JKM segera untuk melihat perkara tersebut.

“Kami sudah meneliti aduan ini dan mendapati kejadian mengenai kualiti makanan dan juga masa penghantaran makanan yang tidak menentu atau lewat sememangnya berlaku,” katanya ketika menggulung usul tergempar mengenai bencana banjir di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum ini, dua Ahli Parlimen dari Johor meminta kerajaan melihat kualiti makanan yang diberikan kepada mangsa banjir di negeri itu.

Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) berkata, makanan yang sudah basi atau nasi yang tidak masak seharusnya tidak dihantar kepada mereka.

Nancy berkata, JKM turut memberikan amaran akan menamatkan perkhidmatan pembekal makanan yang tidak memperbaiki mutu atau kualiti perkhidmatan mereka.

Kata Nancy, JKM mengambil maklum tentang cabaran dan kesulitan yang dihadapi oleh pembekal antaranya kekangan bagi mendapatkan bahan mentah untuk dimasak kerana bekalan terhad, harga naik mendadak dan sebagainya.

Selain itu katanya, antara kesulitan lain dialami adalah seperti tenaga kerja tidak mencukupi kerana pekerja mereka turut terjejas dan tidak dapat untuk bekerja.

“Isu logistik semasa seperti terputus hubungan jalan darat ke PPS, yang mengehadkan capaian mereka untuk menghantar bekalan makanan bermasak ke PPS,” katanya.

Nancy berkata, antara penambahbaikan di masa depan adalah JKM akan mengenal pasti pembekal yang mempunyai sumber dan kapasiti kukuh untuk menawarkan perkhidmatan.

“Mencadangkan semakan semula kadar harga yang berpatutan dengan mengambil kira kos bahan mentah untuk dimasak yang tinggi semasa berlakunya bencana.

“Akan mengenal pasti awal PPS yang berisiko terputus hubungan dan memohon pengurusan makanan seperti dapur bergerak yang dimiliki oleh agensi kerajaan seperti Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan NGO seperti Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM).

“Seian itu, bekerjasama erat dengan kerajaan negeri bagi mencadangkan penyediaan makanan retort dalam kuantiti yang lebih besar daripada sedia ada,” katanya.

Sumber: Harian Metro

Share.

Leave A Reply