Tidak sampai 24 jam selepas melakukan samun di sebuah hotel di Masai dan kedai serbaneka di Ulu Tiram di sini pada Rabu, tiga lelaki berjaya ditahan polis pada hari yang sama.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, pihaknya menerima laporan dibuat pekerja kaunter hotel dan juruwang kedai serbaneka berkenaan yang berusia 37 dan 48 tahun

“Pada jam 4 hingga 5 pagi semalam berlaku kejadian samun di hotel dan kedai serbaneka berkenaan. Semasa kejadian mangsa sedang bekerja dan telah disamun dua lelaki tempatan bersenjatakan parang.

“Seorang daripada suspek mengacukan parang ke arah mangsa sambil mengambil barang berharga sebelum melarikan diri. Antara barang yang dilarikan telefon bimbit jenama Vivo Y15 dan wang tunai RM750,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat antara jam 10 hingga 11.30 malam Rabu, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Balai Polis Pasir Gudang dan Balai Polis Taman Scientex melakukan serbuan.

Menurutnya, tiga lelaki tempatan berusia antara 23 dan 24 tahun diberkas dalam serbuan tersebut di sekitar Pasir Gudang.

Katanya, semakan rekod lampau mendapati suspek mempunyai lapan rekod jenayah dan lapan rekod dadah termasuk rekod orang yang dikehendaki.

“Rampasan barang milik mangsa dan senjata yang digunakan suspek turut dilakukan antaranya dua buah motosikal, dua topi keledar, lima helai jaket, sebilah parang, tiga pasang kasut dan dua telefon bimbit termasuk satu milik mangsa,” katanya.

Mohd Sohaimi memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan juga sebatan.

Jelasnya, semua suspek direman di bawah Seksyen Kanun Prosedur Jenayah (KPJ) selama tujuh hari mulai Khamis hingga 14 Disember ini.

 

Sumber : Sinar Harian

Share.

Leave A Reply