Tips Buang Kotoran Degil Pada Jubin Tandas | Assalamualaikum dan Salam Sejahtera. Mencuci bilik air atau tandas akan mengambil masa yang lama. Tambah-tambah lagi kalau jubin tu dah berlumut dan terlekat warna kuning. Sental macam mana pun dia masih susah nak hilang. Lagi malu bila tetamu mintak untuk guna tandas, mesti mereka geli nak masuk. Tapi jangan risau, anda tak perlu lakukan renovasi buang jubin. Hanya perlu jadikan tugas mencuci tandas sebagai rutin. Yang menarikya, tak perlu guna sebarang sabun. Hanya dengan 4 bahan yang boleh didapati dari dapur sahaja.
1. Serbuk Penaik
Untuk sesi pembersihan minor seperti tompokan air, saki baki tumpahan shampoo dan debu. Serbuk penaik adalah bahan yang sesuai menggantikan sabun pencuci lantai. Celupkan span lembap ke dalam mangkuk serbuk penaik dan gosokkan pada jubin, grout atau mana-mana permukaan yang kotor. Bilas dengan teliti menggunakan air suam. Cucian seperti ini ideal dilakukan sekurang-kurangnya seminggu sekali.
2. Cuka
Antara bahan dapur yang sesuai dijadikan sebagai bahan pembersih jubin adalah cuka. Sifat berasiid cuka mewujudkan persekitaran yang menghalang pertumbuhan kulat, cendawan dan bakteria. Ia juga bahan yang boleh menembusi buih sabun, deposit mineral, bintik-bintik air dan banyak lagi.
Campurkan cuka dengan air ke dalam botol dengan nisbah yang sama kemudian semburkan saja bancuhan tersebut ke permukaan jubin. Biarkan campuran tadi di permukaan selama beberapa minit sebelum menyental dengan berus atau span. Untuk kotoran yang degil, tambahkan serbuk penaik ke dalam bancuhan cuka.
Cuka juga boleh berfungsi sebagai agen pencegahan untuk kegunaan setiap hari. Jadi anda boleh semburkan ini pada jubin dan permukaan kaca sebelum anda keluar dari bilik mandi.
3. Garam
Garam berkuasa untuk membunuh organisma sel tunggal, seperti kulat dengan cara mengeringkan mereka. Tapi jangan terkejut, untuk memastikan cara ini berkesan, kawasan kulat perlu dibiarkan lembap, barulah dapat lihat kebolehan garam yang sebenar. Untuk jubin lantai atau permukaan rata yang lain, anda boleh lapkan kawasan itu dengan kain lembap dan taburkan garam, sebelum menyental ke dalam bahagian-bahagian tertentu. Biarkan ia semalaman sebelum menyambung kerja-kerja pembersihan disebelah pagi keesokan harinya. Sebarang jenis garam kasar, termasuk garam Epsom, boleh digunakan.
4. Jus Lemon
Jus lemon kegemaran di kalangan pencinta bahan semula jadi kerana keupayaannya untuk membersihkan kotoran serta meringankan masalah kulit dengan efektif. Begitu juga tindak balasnya terhadap jubin. Seperti cuka, jus lemon segar mengandungi asid yang agak kuat menjadikan nya sebagai musuh utama buat kulat cendawan. Ia berfungsi dengan baik apabila digabungkan dengan serbuk penaik.
Itulah antara bahan semulajadi yang boleh digunakan untuk kerja pembersihan jubin. Anda boleh lakukan semuanya sendiri, tidak perlu runsing lagi. Selamat membersih.
Sumber: impiana