Trafik Pulau Pinang Sesak Teruk Akibat Air Bertakung Tepi Lebuh Raya | Kejadian banjir kilat di Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di sini menyebabkan kesesakan teruk trafik menghala ke pusat bandar raya pagi tadi.

Ia ekoran hujan lebat sejak kira-kira pukul 5 pagi yang menyebabkan air bertakung setinggi kira-kira 0.5 meter di atas jalan berdekatan satu projek pembinaan di tepi lebuh raya.

Kejadian itu menyebabkan banyak pengguna jalan raya mengalami kelewatan untuk ke tempat kerja apabila kesesakan teruk sejauh lebih 20 kilometer dari Seberang Perai dan Bayan Lepas.

Seorang pengguna jalan raya yang mahu dikenali sebagai Dina, 30-an, berkata, kesesakan itu dianggap luar biasa kerana kawasan itu tidak pernah mengalami banjir kilat sebelum ini.

“Biasanya perjalanan saya mengambil masa setengah jam dari Seberang Perai, tetapi lebih dua jam terperangkap,” katanya.

Seorang pekerja swasta dari Sungai Petani, Kedah, Akmal, 30-an, mendakwa terperangkap dalam kesesakan jalan raya kira-kira empat jam untuk ke tempat kerja di Bayan Lepas di sini.

“Saya mengalami kesesakan teruk dari Seberang Perai dan Jambatan Pulau Pinang, walaupun tempat kerja saya tidak melalui lokasi kejadian,” katanya.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang dalam satu kenyataan berkata, pihaknya segera melakukan kerja mengorek laluan air bagi mengalirkan air keluar.

Difahamkan setakat tengah hari ini trafik kembali lancar apabila air telah surut.

Sumber : Kosmo

Share.

Leave A Reply