Tuduh Bekas Naib Perdana Menteri Lakukan Gangguan Seksual, Keselamatan Bintang Tenis China Terancam | BEIJING: Ketua tenis wanita China menyatakan kebimbangan terhadap keselamatan bintang tenis, Peng Shuai berhubung pendedahan emel yang disiarkan media negara itu.

Pengerusi Persatuan Tenis Wanita, Steve Simon, dalam satu kenyataan berkata, dia ‘sukar untuk percaya’ emel itu ditulis oleh Shuai, yang tidak lagi didengari khabar sejak dakwaan dua minggu lalu bahawa seorang ahli politik berkuasa China mencabulnya secara seksual.

Shuai yang juga bekas juara beregu Wimbledon dan Terbuka Perancis, membuat dakwaan di Twitter awal bulan lalu, bahawa bekas Naib Perdana Menteri, Zhang Gaoli ‘memaksa’ melakukan seks ketika hubungan jangka panjangnya.

Dakwaan itu kemudiannya dipadamkan dari media sosial dan sejak itu Shuai tidak kelihatan sehingga menimbulkan kebimbangan mengenai keberadaannya.

Bagaimanapun, stesen CGTN mendedahkan satu tangkap layar di Twitter yang mengatakan emel ditulis oleh Shuai kepada Simon dan pegawai WTA.

Dalam emel itu, Shuai mendakwa tuduhan awalnya mengenai pencabulan seksual adalah ‘tidak benar’ dan dia kini ‘sedang berehat di rumah dan semuanya baik sahaja’.

Bagaimanapun, keraguan muncul mengenai bahasa yang digunakan dalam emel Shuai itu dan Simon sendiri menyatakan, dia sukar percaya mengenai kesahihan emel itu.

“Kenyataan itu dikeluarkan hari ini oleh media negara China, namun kebimbangan saya adalah keselamatan dan di mana dia berada.

“Saya sukar untuk percaya bahawa Peng Shuai menulis sendiri emel yang kami terima,” katanya.

Katanya, dia beberapa kali cuma menghubungi wanita itu melalui pelbagai cabang komunikasi namun tidak berjaya.

Oleh itu, dia menggesa satu bukti yang kukuh dan bebas untuk menyatakan pemain tenis itu selamat.

“Peng Shuai mempamerkan kekuatan untuk mendakwa tuduhan gangguan seksual oleh bekas pegawai tinggi dalam kerajaan China.

“Tuduhannya itu perlu dihormati dan siasatan menerusi ketelusan penuh dan tanpa berselindung perlu dilakukan.

“Suara wanita perlu didengari dan dihormati, tidak ditapis atau ditentukan,” kata Simon lagi. – AFP

Sumber: Berita Harian

Share.

Leave A Reply