Tular Sotong Kayangan Dua Ekor RM100, Restoran Perjelas Hal Sebenar | GEORGETOWN: Restoran Hameediyah di Lebuh Campbell yang merupakan antara restoran nasi kandar popular di negeri ini menjadi topik panas dalam media sosial selepas resit hidangan dua ekor sotong berharga RM100 tular hari ini.

 

Salinan resit berkenaan yang menunjukkan harga bagi dua ekor sotong goreng berharga RM100 manakala sepinggan nasi beriani kosong berharga RM4.50, nasi putih (RM1.50), dua biji telur masin (RM2), papadom (RM3) dan timun (RM2) menjadi perdebatan warga maya yang menganggap harga berkenaan melampau.

Menjelaskan perkara itu, Pengarah Restoran Hameediyah Lebuh Campbell, Muhammad Riyaaz Syed Ibrahim berkata, harga kesemua makanan yang dijual di restoran itu disenaraikan dengan jelas termasuk  hidangan sotong yang dijual antara RM10 dan RM150.

“Saya yang mengambil pesanan individu ini dan pasangannya yang mana mereka telah membungkus sotong goreng untuk dibawa pulang selain nasi beriani, nasi putih, telur masin, sebungkus papadom dan hidangan timun.

“Sotong goreng ‘appollo’ ini tidak murah, kami sendiri membelinya pada harga RM35 hingga lebih RM40 sekilogram malah harga di pasaran sentiasa berubah-ubah,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, sotong goreng yang dibungkus untuk pasangan berkenaan juga bersaiz besar yang mana harganya antara RM110 dan RM120 untuk dua orang, namun dia telah memberikan diskaun kepada pelanggan terbabit.

Share.

Leave A Reply