Tun Dr Mahathir Mohamad kelihatan semakin sihat sejak dibenarkan keluar daripada rawatan Institut Jantung Negara (IJN) 5 Februari lalu, apabila kembali melakukan aktiviti kegemarannya iaitu berbasikal di sekitar Tasik Putrajaya semalam.
Dalam perkongsian menerusi Facebooknya, Dr Mahathir melahirkan rasa gembira kerana dapat kembali melakukan aktiviti itu selepas beberapa bulan tidak dapat berbuat demikian.
Jelasnya, di Tasik Putrajaya pagi tadi, kayuh semula setelah beberapa bulan tak dapat kayuh gerek. Gerek ini perkataan Kedah untuk basikal selain melihat ramai yang mengamalkan gaya hidup sihat, Alhamdulillah dan tahniah.
Beliau memilih Tasik Putrajaya tapi tak ramai yang tahu landskap tasik ini sebenarnya inspirasi daripada Lake Como di Itali, dengan perumahan di sekitarnya mengindahkan suasana.
Ketika beriadah pagi semalam, bekas Perdana Menteri itu turut disertai isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, yang mengayuh basikal tandem berasingan.
Dr Mahathir dimasukkan untuk rawatan ke Unit Rawatan Koronari (CCU) IJN pada 22 Januari sebelum dibenarkan pulang pada 5 Februari lalu.
Sumber: Berita Harian